Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir golongan terpelajar yang lantang melaungkan reformasi tetapi berdiam diri apabila tindakan antirasuah melibatkan individu tertentu diambil pihak berkuasa.
Menurut Anwar, pendirian tidak konsisten itu menunjukkan hipokrasi, khususnya apabila mereka hanya bersuara apabila lawan disiasat tetapi senyap apabila kawan sendiri terpalit.
“Saya rasa pelik dan melihat ia sangat hipokrit apabila bercakap tentang rasuah, contohnya berkata kepada seorang bekas Perdana Menteri, tetapi mengabaikan mereka yang sudah merompak berbilion ringgit.
“Apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat mereka, tidak ada sepatah sokongan pun. Apa salahnya sistem kita? Kita patut boleh bersuara,” katanya.

Kredit Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di ASEAN Symposium 2025 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar turut menegaskan bahawa perjuangan melawan rasuah sepatutnya berlandaskan prinsip dan nilai, bukan kecondongan politik atau kepentingan peribadi.
“Saya tak kata kita harus terbabit dalam politik partisan, tetapi perlu fokus pada etika dan nilai. Hanya kerana jutawan menyokong anda, organisasi atau parti anda, itu tidak bermaksud kita harus tutup mata terhadap salah laku masa lalu,” tegasnya.

Kredit Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.
Cakap benci rasuah
Beliau turut menyentuh kecaman terhadap keputusan mahkamah berkaitan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang sering disalah tafsir oleh pelbagai pihak.
Katanya, ada pihak menuduh kerajaan campur tangan apabila individu tertentu diberi DNAA, sedangkan pada masa yang sama, mendesak kerajaan bertindak terhadap pihak lain juga mengikut kehendak mereka.
“Mereka bercakap mengenai kebebasan kehakiman, tetapi mahu mengikut kehendak sendiri. Ini diktator kehakiman.
“Apa yang anda mahu? Mahu saya jadi diktator? Suruh hakim putuskan ikut pandangan peribadi kamu? Ini bukan kebebasan,” katanya.
![]()
Kredit Foto: IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri.
Anwar menegaskan bahawa prinsip pemisahan kuasa mesti dihormati dan tidak boleh dikompromi demi kehendak politik mana-mana pihak.
Artikel lain: PM Anwar tunjuk sifat kebapaan, siswa protes tak diambil tindakan hal luar biasa -Amidi
Mengulas isu rasuah secara lebih luas, beliau berkata ia kini menjadi masalah endemik dalam sistem negara, berpunca daripada kepimpinan yang mementingkan kekayaan dan kepentingan tertentu.
“Kita hilang idealisme apabila golongan berkuasa mahukan kekayaan, manakala golongan elit pula obses dengan kepentingan tertentu sehingga mengabaikan kerumitan ekonomi,”ujar beliau.
Beliau menyeru supaya semua pihak kembali kepada nilai integriti, etika dan tanggungjawab sosial, agar pertumbuhan ekonomi negara benar-benar dapat dimanfaatkan oleh rakyat dan bukan segelintir pihak sahaja.
Sumber: BH Online(Ilah Hafiz Aziz)