‘Cakap mahu pergi tandas, rupanya ke kantin’ – Pelajar kena tampar dengan guru

‘Cakap mahu pergi tandas, rupanya ke kantin’ – Pelajar kena tampar dengan guru
Tular rakaman guru SMK tampar pelajar kerana izin ke tandas tetapi ke kantin. Foto Agensi

Tular rakaman guru SMK tampar pelajar kerana izin ke tandas tetapi ke kantin. Foto Agensi

SIDOARJO – Tindakan seorang guru menampar pelajar di sebuah sekolah menengah kejuruan (SMK) di Krian, Sidoarjo, Indonesia tular di media sosial selepas dirakam dalam video berdurasi 15 saat.

Detik.com melaporkan kejadian berlaku di SMK Yapalis Krian pada Rabu lalu sekitar jam 3.30 petang (waktu tempatan) ketika pelajar lelaki berusia 17 tahun itu berbalas kata dengan guru sebelum ditampar dua kali di dalam kelas.

Menurut Pengetua SMK Yapalis Krian, Vulkan Abriyanto, pelajar berkenaan meminta izin ke tandas tetapi sebaliknya ke kantin untuk makan, meskipun sudah beberapa kali diberi teguran.

Katanya, guru yang melihat pelajar itu makan di kantin menegurnya namun remaja berkenaan tetap naik ke tingkat dua sambil membawa makanan, menyebabkan guru tersebut hilang sabar.

Pihak sekolah memaklumkan pelajar itu sering mengulangi perbuatan sama dan sudah dikenakan tindakan disiplin sebelum ini.

Vulkan berkata perbincangan antara keluarga pelajar, pihak sekolah dan guru terlibat telah dilakukan dengan disaksikan peguam serta tokoh masyarakat, manakala pelajar tersebut sudah memohon maaf.

Beliau turut mengingatkan bahawa penyebaran video kejadian itu berpotensi melanggar undang-undang jenayah siber di Indonesia. – Agensi

Scroll to Top