Cakra Khan Belanja RM5,000 Sebulan Bela 30 Kucing Jalanan

Cakra Khan Belanja RM5,000 Sebulan Bela 30 Kucing Jalanan

Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan, sanggup memperuntukkan sekitar RM5,000 sebulan (20 juta Rupiah) untuk menjaga kebajikan lebih 30 ekor kucing jalanan yang dipelihara di kediamannya di Jakarta.

Menurut Cakra atau nama penuhnya Cakra Konta Paryaman, 33, kesemua kucing berkenaan diselamatkan daripada jalanan termasuk yang ditemui di longkang, malah ada juga yang mengalami masalah kesihatan serius seperti buta dan penyakit jantung.

“Semua kucing yang saya bela sekarang memang saya pungut dari jalan. Ada yang saya jumpa dalam longkang dan tepi jalan, biasanya waktu dalam perjalanan pulang dari lapangan terbang.

“Saya akan tanya dulu orang sekeliling, kalau tiada tuan, saya bawa balik,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Divine Cakra Khan, pada Rabu.

Walaupun kos penjagaan tinggi, termasuk rawatan veterinar mingguan, makanan khas dan ubat-ubatan, Cakra tidak pernah menganggapnya satu beban.

“Saya beli generator oksigen, malah sediakan peralatan ICU khas untuk kucing. Saya tak rasa rugi langsung, sebab bagi saya, rezeki yang saya dapat pun ada bahagian untuk mereka,” katanya.

Sejak tiga tahun lalu, Cakra sudah membela lebih 30 ekor kucing. Semua haiwan peliharaannya disteril, dihantar pemeriksaan kesihatan setiap minggu, dan dijaga rapi oleh seorang pekerja khas yang diupah untuk menguruskan keperluan mereka.

“Saya pastikan mereka dihantar ke doktor secara berkala. Proses steril penting supaya mereka lebih sihat dan tak bergaduh.

“Kucing saya banyak, ada juga yang mati dan hilang. Tapi saya tetap jaga yang tinggal dengan baik. Kalau ada orang nak ambil bela, saya akan pastikan mereka stabil dulu,” ujarnya.

Bukan sekadar menjaga, Cakra turut menyimpan impian besar untuk membuka pusat perlindungan haiwan satu hari nanti, demi membantu lebih banyak kucing jalanan yang memerlukan perlindungan.

“Saya selalu berbincang dengan rakan-rakan yang dah ada pusat jagaan haiwan. Tapi nak bina ‘shelter’ ini bukan mudah. Kena fikir banyak perkara jiran, persekitaran, penerimaan komuniti.

“Sebab itu saya rasa lebih sesuai dibina di kampung, suasana lebih tenang dan mudah dikawal. Tapi selagi belum ada tempat khas, saya akan terus bantu mana-mana kucing yang saya jumpa. Sekurang-kurangnya mereka selamat di bawah jagaan saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Cakra bakal mengubat rindu peminat di Malaysia menerusi konsert solo eksklusifnya, ‘Cakra Khan Divine Concert’ yang akan berlangsung pada 2 Ogos ini di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Bukan itu sahaja, Cakra turut menggegarkan pentas The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai ini, sebagai memenuhi permintaan luar biasa peminat setia di republik berkenaan.

Untuk peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan penuh emosi dan bertenaga ini, tiket boleh dibeli di www.myticket.asia bagi konsert Kuala Lumpur, manakala pemegang MyKad Singapura boleh mendapatkan tiket di www.sistic.com.sg.

Harga tiket bermula serendah RM225 hingga RM1,295 di Malaysia, dan SGD128 hingga SGD248 di Singapura.

Artikel Berkaitan: Cakra Khan Kembali Gegar Malaysia, Singapura Dengan Konsert ‘Divine’

Scroll to Top