Cakra Khan Kembali Gegar Pentas, Konsert ‘Divine’ Janji Malam Penuh Magis!

Cakra Khan Kembali Gegar Pentas, Konsert ‘Divine’ Janji Malam Penuh Magis!

Selepas melalui perjalanan panjang dalam karier seninya, penyanyi bersuara serak merdu, Cakra Khan bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert solo berskala besar.

Lebih istimewa, konsert yang dinamakan Divine Concert – Cakra Khan bukan hanya berlangsung di satu negara, sebaliknya dua lokasi utama di rantau ini menjadi pilihan Singapura dan Malaysia.

Menurut pihak penganjur, Shiraz Projects, konsert pertama sudah berlangsung di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai 2025 lalu, seterusnya di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025.

“Divine Concert – Cakra Khan diadakan tepat pada masanya. Ia bukan sekadar persembahan biasa, tetapi akan menjadi sebuah konsert yang luar biasa dan magis, sama seperti perjalanan seni Cakra Khan selama ini.

“Selepas 11 tahun, Cakra akhirnya muncul dengan album kedua berjudul Divine pada 2024. Maka konsert ini juga diangkat dengan semangat yang sama iaitu luar biasa, hebat dan penuh aura,” kata Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim.

Menurutnya lagi, konsert ini bakal menampilkan seleksi lagu daripada album terbaru selain deretan lagu malar segar yang pernah melonjakkan nama penyanyi berusia 33 tahun itu.

“Ini peluang buat peminat menikmati kembali keunikan vokal Cakra Khan yang sinonim dengan lagu-lagu cinta bernuansa emosi,” tambahnya.

Mengulas mengenai pemilihan dua lokasi, Shirazdeen berkata, keputusan itu dibuat susulan permintaan tinggi daripada peminat yang mahu menyaksikan Cakra Khan secara langsung.

“Peminat di Singapura boleh menyaksikan konsert di The Star Theatre pada 18 Julai, manakala peminat Malaysia bakal menyambutnya di Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos. Pilihan di tangan peminat sama ada mahu hadir di salah satu lokasi atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, Cakra yang terkenal menerusi lagu-lagu malar segar seperti Kekasih Bayangan, Kepada Hati, dan Harus Terpisah ini meluahkan rasa teruja menjelang penganjuran konsert berskala besar itu.

“Apa yang pasti, kalian akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan seperti mana saya menghargai sokongan yang diberikan selama ini,” katanya.

Tiket bagi konsert di Kuala Lumpur boleh dibeli menerusi laman sesawang www.myticket.asia manakala bagi konsert di Singapura boleh didapati di www.sistic.com.sg.

Harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur bermula dari RM225 hingga RM1,295.

Scroll to Top