‎'Calon ketua pembangkang belum muktamad, dijangka diputuskan dalam masa terdekat' – Dr Sam

‎'Calon ketua pembangkang belum muktamad, dijangka diputuskan dalam masa terdekat' – Dr Sam

‎am@hmetro.com.my

‎Kuala Nerus: Proses pemilihan calon Ketua Pembangkang masih belum dimuktamadkan dan dijangka diputuskan dalam masa terdekat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum keputusan akhir dibuat.

‎‎”Kita minta semua bersabar seketika, Insya-Allah perkara ini akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah & Himpunan Alam Melayu 2026 yang berakhir hari ini.

‎‎Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu mengulas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini memaklumkan pelantikan Ketua Pembangkang masih belum dimuktamadkan.

‎‎Menurut Ahmad Samsuri, kelewatan berkenaan bukan kerana perbezaan pendapat, sebaliknya masih ada masa sebelum sidang Parlimen dijangka pada Jun depan.

‎‎”Kita masih ada masa untuk membuat pertimbangan, jadi kita tunggu dahulu. Bila selesai nanti, semua akan dimaklumkan,” katanya.

‎‎Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat khas bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan bagi membincangkan kedudukan ekonomi semasa negara dan langkah yang akan diambil kerajaan.

‎‎”Kita menilai kesan paling besar kepada pentadbiran kerajaan negeri dan akan menggembleng dengan semua pihak untuk menangani tekanan ekonomi kepada rakyat.

‎”‎Tidak kira kerajaan, swasta atau persekutuan, semua perlu bekerjasama supaya kesan tekanan ekonomi dapat diminimumkan,” katanya.

‎‎Selain itu, kerajaan negeri akan menilai keperluan bekerja dari rumah (BDR) susulan kenaikan harga bahan api ekoran krisis global di Asia Barat.

‎‎Ahmad Samsuri berkata, suasana di Terengganu berbeza dengan Lembah Klang di mana rakyat menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya, menyebabkan penggunaan petrol lebih kritikal.

‎‎”Di Terengganu, situasi itu tidak begitu berlaku. Kita masih menilai keperluan BDR dan belum membuat keputusan di peringkat mesyuarat lagi,” katanya.

Isu Ketua Pembangkang yang baharu timbul selepas Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipecat dari BERSATU dan muncul desakan terutama dari parti lamanya mendakwa beliau tidak lagi berhak memegang jawatan itu kerana tiada berparti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top