Calon PN akui kelebihan berbahasa Cina untuk dekat pengundi

Calon PN akui kelebihan berbahasa Cina untuk dekat pengundi

JOHOR BAHRU – Kemampuan seseorang calon pilihan raya dari parti politik bukan sahaja diukur pada tugas disandang dan tanggungjawab yang dilaksana.

Kebolehan tambahan menjadi bonus dan tarikan yang memberi pakej lengkap kepada mereka.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berkata, beliau perlu mengetahui bahasa Mandarin selaras dengan hasratnya untuk membantu golongan memerlukan membabitkan kaum Cina.

“Ya, saya tahu sikit-sikit tetapi point utama kita ialah kita tahu nombor kita. Itu yang lebih penting, sekurang-kurangnya mereka tahu yang kita berusaha belajar bahasa mereka,” katanya pada acara walkabout di pasar malam Perling, hari ini.

Zulkifli, 50, yang juga usahawan kelahiran Tampoi berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen sepanjang 14 hari sebaik mungkin dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Beliau dan jentera PN akan fokus secara menyeluruh kepada semua kawasan di Pulai, mengikut jadual yang telah disusun sebelum hari mengundi, 9 September depan.

“Saya akan memperhalusi juga pelbagai masalah seperti banjir kilat serta isu kemudahan rakyat,” ujarnya.

Zulkifli berkata, walaupun pertama kali terjun ke gelanggang pilihan raya, namun calon PN itu tidak kekok dan bersahaja ketika menyantuni pengundi Cina.

Ditanya adakah cabaran berdepan pengundi Cina, beliau berkata, ia bukan halangan utama untuknya terus mendekati mereka dan setakat ini sambutan yang diterima adalah menggalakkan. – MalaysiaGazette