am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kemalangan motosikal dan kereta di persimpangan lampu isyarat dekat pasar Melor di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada 7.04 malam itu, Azri Anuwar, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapanya, Anuwar Mohamed Ali, 48, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu menunggang motosikal dari arah sekolah untuk pulang ke rumah di Kadok Dalam di sini.
“Saya dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak selepas dihubungi rakan yang meminta segera datang ke lokasi kejadian.
“Masa itu sudah rasa tidak sedap hati dan sebaik tiba di lokasi, saya lihat jenazah anak ditutup dengan kain dan kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pegawai tadbir itu berkata, anaknya sedang menjalani peperiksaan percubaan SPM dan berkemungkinan baru lepas mengulang kaji pelajaran.
“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Jaafar Kadok Dalam, kemungkinan pagi esok,” katanya.
Anuwar berharap siasatan pihak polis terhadap kemalangan itu dapat membela nasib anaknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd