Riyadh: Bintang tinju Mexico, Saul ‘Canelo’ Alvarez membuktikan statusnya sebagai raja kelas super middleweight selepas menewaskan juara IBF, William Scull menerusi keputusan sebulat suara pada aksi di Riyadh.
Kemenangan itu menyaksikan Canelo, 34, menyatukan semua gelaran dalam divisyen berkenaan selain mengekalkan rekod cemerlangnya dengan 63 kemenangan, dua kekalahan dan dua seri – termasuk 39 kemenangan menerusi knockout (KO).
Aksi yang berlangsung sempena sambutan hujung minggu Cinco de Mayo itu juga membuka laluan kepada pertembungan blockbuster menentang juara belum tumpas, Terence Crawford, yang kini ditetapkan berlangsung pada 12 September di Las Vegas.
Scull, petinju kelahiran Cuba yang hadir selaku underdog dengan rekod bersih 23-0, hanya mampu bertahan sepanjang pertarungan apabila diasak bertubi-tubi oleh Canelo yang terkenal dengan serangan ke bahagian badan.
“Dia banyak bergerak, lebih daripada yang saya jangka. Tapi tak mengapa, yang penting kami menang,” kata Canelo ringkas selepas tamat pertarungan.
Canelo banyak menggunakan taktik memerangkap lawannya di penjuru tali sebelum melepaskan rangkaian hook padu yang jelas memberi tekanan kepada Scull.
Pertarungan ini juga menjadi penampilan pertama Canelo di luar Amerika Utara sepanjang hampir 20 tahun karier profesionalnya, selepas sebelum ini dikritik kerana mengelak untuk bertarung dengan Scull yang juga pencabar mandatori IBF – sehinggakan dia dilucutkan tali pinggang badan dunia itu tahun lalu apabila memilih bertemu Edgar Berlanga.
Namun kemenangan ke atas Scull dianggap menebus kembali kesilapan lalu, selain memberi isyarat kepada dunia bahawa tugas Canelo masih belum selesai.
Menambah keterujaan, Crawford turut naik ke dalam gelanggang sejurus tamat pertarungan untuk mengesahkan pertemuan mereka pada September ini yang dijangka menjadi antara pertarungan terbesar dalam sejarah sukan itu.
Sementara itu, petinju Mexico, Jaime Munguia menebus kekalahan kepada Bruno Surace apabila menewaskan lawannya dari Perancis menerusi keputusan sebulat suara.
Munguia jelas menguasai pertarungan dengan menekan Surace ke tali gelanggang dan melancarkan kombinasi pukulan yang pantas.
© New Straits Times Press (M) Bhd



