syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon dan penerbit, Sheila Rusly kini secara rasminya mendaftarkan namanya sebagai cap dagangan (trademark) berdaftar di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Menerusi perkongsian di beberapa media sosial miliknya, Sheila memuat naik foto Sijil Perakuan Pendaftaran yang memaparkan nama ‘SHEILA RUSLY’ sebagai jenama yang dilindungi undang-undang.
Sheila dalam nada berseloroh sempat menitipkan pesanan buat peminat dan rakan industri agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama berkenaan bagi tujuan komersial.
“Alhamdulillah Sheila Rusly, sis (saya) dah ambil ya kawan-kawan. Kalau nak (ambil), ambil Sheila On 7,” tulisnya ringkas diikuti emoji ketawa.
Hantaran itu turut disertakan dengan tanda pagar #sentiasabersyukur dan #alhamdulillah sebagai tanda penghargaan atas urusan yang dipermudahkan.
Sijil itu menyatakan pendaftaran itu sah bagi tempoh 10 tahun bermula 17 Ogos 2023 sehingga 17 Ogos 2033.
Langkah mendaftarkan nama sebagai cap dagangan bukanlah perkara asing bagi selebriti di Malaysia, bertujuan untuk melindungi identiti diri dan jenama perniagaan daripada disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
© New Straits Times Press (M) Bhd



