Cape Verde pantas fokus Argentina

Cape Verde pantas fokus Argentina

Houston: Pendatang baharu, Cape Verde meneruskan kisah dongeng mereka di Piala Dunia apabila mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik selepas seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi, sekali gus mengatur pertemuan mengejut menentang juara bertahan, Argentina, di Miami.

Kemenangan 1-0 ke atas Uruguay memastikan Sepanyol muncul juara Kumpulan H dengan tujuh mata, manakala tiga keputusan seri sudah memadai buat Cape Verde menamatkan saingan di tempat kedua. Uruguay dan Arab Saudi masing-masing tersingkir dengan dua mata.

“Saya rasa seperti sedang bermimpi. Sejak kecil lagi saya sentiasa bermimpi untuk beraksi di Piala Dunia.

“Mulai esok kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya. Kami akan menentang Argentina, bukan? Ia pasti sukar, tetapi kami percaya apa sahaja boleh berlaku,” kata pemain terbaik perlawanan, Deroy Duarte.

Cape Verde sudah pun mencipta sejarah dalam penampilan sulung mereka di Piala Dunia sambil mencuri perhatian penyokong menerusi keputusan seri tanpa jaringan menentang Sepanyol serta seri 2-2 dengan Uruguay yang mempamerkan semangat juang tinggi.

Selepas wisel penamat, pemain dan pegawai Cape Verde berkumpul mengelilingi telefon bimbit masing-masing sebelum meraikan kejayaan selepas mengetahui keputusan perlawanan satu lagi dalam kumpulan, disambut sorakan gemuruh penyokong yang terus memalu gendang.

Ramai pemain terus berada di atas padang selepas kebanyakan penyokong meninggalkan Stadium Houston, mengambil gambar, berpelukan dan menyelubungi diri dengan bendera negara sambil menikmati detik bersejarah buat negara yang mempunyai kira-kira 500,000 penduduk itu.

Penyerang Dailon Livramento berkata pasukannya mahu mengekalkan corak permainan sendiri ketika berdepan Arab Saudi, namun mengakui penyudah yang lebih tajam amat penting apabila bertemu Argentina.

“Kami cuba bermain bola sepak mengikut gaya kami sendiri. Dalam perlawanan ini kami berjaya mempamerkannya.

“Pada akhirnya kami akan menilai apa yang boleh diperbaiki, seperti menyempurnakan peluang yang terhasil, tetapi itu untuk perlawanan seterusnya. Sekarang kami hanya mahu meraikan kejayaan ini,” kata Livramento.

Perlawanan itu sendiri kurang berkualiti apabila Cape Verde lebih banyak menguasai permainan tetapi gagal memanfaatkan peluang, termasuk kegagalan Laros Duarte menyempurnakan peluang satu lawan satu dengan penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Alowais.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan penuh semangat kerana memburu tiket ke pusingan kalah mati, namun sering melakukan hantaran kurang tepat dan terjahan yang tidak menjadi.

Peluang awal hadir menerusi Willy Semedo yang melepaskan rembatan dari sudut sempit selepas memotong masuk dari sebelah kiri ketika Cape Verde mula menguasai permainan.

Arab Saudi hanya menghasilkan percubaan tepat pertama mereka pada masa kecederaan babak pertama menerusi tandukan Mohamed Kanno yang mudah ditangkap penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha, yang turut disaksikan ibunya dari tempat duduk penonton selepas tiba lewat ke kejohanan akibat proses mendapatkan visa Amerika Syarikat.

Cape Verde tampil lebih agresif pada babak kedua dan melakukan 15 percubaan, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik, manakala Arab Saudi pula bergelut untuk mengancam kubu lawan.

Pengendali Arab Saudi, Georgios Donis, mengakui kegagalan menguasai bola dan mencipta peluang menjadi punca pasukannya tersingkir.

“Kami menghadapi masalah untuk mencipta peluang. Apabila anda tidak mampu mengawal tempo permainan dan gagal mencipta peluang di bahagian serangan, memang sukar untuk memenangi perlawanan,” kata Donis.

Arab Saudi menamatkan kempen Piala Dunia dengan hambar selepas hanya menjaringkan satu gol dalam tiga perlawanan dan gagal memberikan ancaman sebenar kepada Cape Verde di Houston.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top