PENGENDALI skuad kebangsaan Peter Cklamovski menegaskan pasukan Cape Verde yang menjadi lawan pada aksi persahabatan bulan ini merupakan ujian yang amat diperlukan skuad Harimau Malaya.
Menurut jurulatih dari Australia itu, Cape Verde yang kini menghuni ranking ke-72 dunia bakal menjadi pengukur sebenar tahap kemajuan skuad negara.
“Menghadapi pasukan lawan yang kuat dalam perlawanan persahabatan antarabangsa adalah satu ujian sebenar.
“Cape Verde merupakan antara pasukan kebangsaan terbaik di Afrika, dibarisi pemain-pemain yang beraksi di peringkat tertinggi di Eropah.
“Inilah jenis ujian yang kami perlukan kerana ia akan menguji keupayaan, memberi cabaran dan membantu kami berkembang sebagai satu pasukan,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Harimau Malaya yang menghuni rangking ke-131 dunia akan berdepan pasukan yang lebih kuat iaitu Cape Verde dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Aksi pertama akan berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei manakala perlawanan kedua pula bakal dilangsungkan secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.
Dua aksi persahabatan ini merupakan sebahagian persiapan skuad negara menjelang pertembungan penting menentang Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi yang turut berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun depan.
Bagi perlawanan menentang Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, tiket terbuka berharga RM40 dan kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.
Tiket bagi perlawanan Malaysia dan Vietnam di SNBJ dijual pada harga RM40 bagi tiket terbuka, grandstand (RM60), premium (RM70) dan RM5 bagi kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.