Turin: Cristiano Ronaldo dikritik selepas berpaling ketika sepakan percuma kemenangan Porto dengan Fabio Capello menganggap tindakan itu tidak boleh dimaafkan.
Sergio Olivera meledak pada minit ke-115 untuk meletakkan kelab Portugal yang beraksi 10 pemain itu 4-3 di depan menerusi agregat di Stadium Allianz.
Adrien Rabiot menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat permainan tetapi gagal menyelamatkan Ronaldo dan pasukannya daripada tersingkir pada peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Menjangkakan pemain tengah Porto, Olivera akan merembat sekuat mungkin Ronaldo, Rabiot dan Alvaro Morata yang membentuk tembok memusingkan badan ketika sepakan dilakukan.
Tetapi sebaliknya, Olivera bijak meledak rembatan leret di bawah kaki ketiga-tiga pemain itu yang tidak dapat melihat bola selepas mereka berpaling ke belakang dan gagal diselamatkan Wojciech Szczesny.
Capello melepaskan geramnya kepada Sky Sport Italia: “Ia kesalahan memalukan yang tidak dapat dimaafkan. Ketika masa saya, anda memilih pemain berani menjadi tembok dan bukannya yang takut bola. Mereka takut bola yang datang dan melompat memusingkan badan. Ia sama sekali tidak dapat dimaafkan.”
Kemarau kejuaraan Eropah Juventus berlanjutan setahun lagi manakala persoalan tercetus sama ada Ronaldo akan terus bersama kelab musim depan.
Juve dilaporkan mahu menjualnya bagi melepaskan beban bayaran gaji tinggi ke atas pemain susulan masalah kewangan angkara koronavirus.
Seorang pemain yang tidak mungkin dijual ialah Matthijs de Ligt – bintang Belanda yang bukan sahaja pertahanan muda berkualiti tinggi tetapi pemimpin sejati di bilik persalinan.
Buktinya hanya dia, Federico Chiesa dan Juan Cuadrado yang berani berdepan kamera media selepas tamat perlawanan manakala pemain lebih senior tidak kelihatan.
Bekas pengurus England, Capello menambah: “Anda lihat hanya pemain muda berani menunjukkan muka ketika saat sukar. Dalam pasukan ini terdapat beberapa pemain veteran yang hanya tampil ketika menang untuk mendapatkan kredit tetapi hillang terus apabila kalah.”