Caprice fail saman fitnah terhadap Rafizi, tuntut ganti rugi RM10 juta

Caprice fail saman fitnah terhadap Rafizi, tuntut ganti rugi RM10 juta

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh media sosial, Caprice mengesahkan memfailkan saman fitnah terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi susulan kegagalan ahli Parlimen Pandan itu memohon maaf dan menurunkan hantaran media sosial berbaur tuduhan ke atasnya.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, proses penyerahan saman terbabit dilakukan peguamnya hari ini.

“Untuk makluman umum, saya mengarahkan peguam saya Mohd Rezan Ezra untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli pada 26 Februari (Khamis).

“Saya difahamkan oleh peguam saya bahawa proses penyerahan saman akan dilakukan esok hari (hari ini).

“Saya ingin memberi pencerahan bahawa tindakan dibuat setelah Rafizi gagal memohon maaf kepada hantaran-hantaran di media sosial beliau berkenaan tuduhan beliau bahawa saya memfitnah beliau seperti yang diperincikan melalui dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 21 Februari lalu, Caprice mendesak Rafizi menurunkan semua hantaran di media sosial dan meminta maaf kepadanya sebelum jam 5 petang hari sama atau berdepan tindakan undang-undang.

Ia susulan hantaran di laman sosial Rafizi berkenaan tuduhan Caprice berhubung kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.

Mengulas lanjut, Caprice berkata, dalam saman fitnah difailkannya, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta, permohonan maaf dan injunksi terhadap Rafizi.

Caprice turut berharap melalui tindakan terbabit, nama baiknya dapat dibersihkan semula daripada dakwaan dikemukakan Rafizi.

Dalam pada itu, Caprice turut mengulas penjelasan Rafizi dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM), yang disiarkan pada 20 Februari lalu berhubung hubungannya dengan individu dikaitkan mempunyai ‘konflik kepentingan’ ketika menerajui Kementerian Ekonomi.

“Dalam podcast terbabit, beliau tidak sama sekali menafikan hubungan perniagaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Itramas Corporation, Lee Choo Boo yang pada satu ketika memegang saham dalam syarikat Invoke.

“Beliau juga tidak menafikan bahawa beliau mempunyai penglibatan dalam projek NETR (Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara) yang telah dianugerahkan kepada Itramas Corporation semasa menjadi Menteri Ekonomi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top