Carapaz terlepas aksi TdF kerana jangkitan perut

Carapaz terlepas aksi TdF kerana jangkitan perut

Paris: Pelumba Ecuador, Richard Carapaz terpaksa menarik diri daripada menyertai Tour de France (TdF) yang akan bermula minggu depan akibat jangkitan perut, umum pasukannya EF Education EasyPost, hari ini.

Carapaz, 32, yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tokyo dan menamatkan saingan di tempat ketiga pada Giro d’Italia awal bulan ini, mengalami kesakitan abdomen serta demam panas sebelum dinasihatkan doktor untuk tidak melakukan perjalanan jauh atau menyertai perlumbaan dalam masa terdekat.

“Dengan penuh rasa sedih, saya terpaksa maklumkan bahawa jangkitan gastrointestinal memaksa saya untuk tidak menyertai TdF,” tulis Carapaz menerusi akaun Instagramnya.

“Bukan berita terbaik, tetapi kesihatan tetap keutamaan. Terima kasih atas segala sokongan dan mesej yang diterima.”

Juara jersi Raja Bukit TdF tahun lalu itu dijangka berehat beberapa minggu sebelum kembali menjalani latihan bagi fokus ke perlumbaan Vuelta a Espana yang dijadual bermula Ogos depan.

Edisi 2025 TdF akan bermula 5 Julai di Lille dan berakhir di Champs Elysees, Paris pada 27 Julai.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top