am@hmetro.com.my
Melaka: Pengawal keselamatan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh,di sini, tadi, atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis dengan tujuan memeras ugut seorang warga asing minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Saril Ismail, 51, selepas menerima pengakuan salahnya dan mensabitkan seperti pertuduhan.
Keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pemberatan hukuman turut dipertimbang mahkamah dalam menjatuhkan hukuman itu.
Berdasarkan pertuduhan, Saril dapati menyamar sebagai penjawat awam anggota polis dan cuba melakukan perbuatan atas kuasa jawatan itu terhadap mangsa warganegara Bangladesh bernama Md Aabdullah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Bendahara, di sini, pada 1 Februari lalu, kira-kira jam 2.45 petang.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes tertuduh, yang menaiki motosikal memperkenalkan diri sebagai polis kepada pengadu yang sedang mengayuh basikal sebelum menarik begnya dan mengambil wang tunai.
Mangsa kemudian mengesyaki tertuduh menyamar sebagai polis sebelum tampil membuat laporan.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu tertuduh dikenakan hukuman denda minimum atas alasan mempunyai tanggungan tiga anak dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM2,400 sebulan.
Katanya, beliau difahamkan tertuduh melakukan kesalahan menyamar polis dan mengugut warga asing untuk mendapatkan wang lebih.
“Tertuduh mengaku di peringkat awal sekali gus menjimatkan masa dan kos mahkamah dan dia wajar diberi peluang untuk membetukkan diri,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




