‘Cari penyakit dengar cakap orang lain’ – TMJ

‘Cari penyakit dengar cakap orang lain’ – TMJ

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membuka mulut mengenai akibat ‘termakan cakap’ individu yang kononnya mahir dalam bola sepak, tetapi kosong.

Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) seakan menempelak beberapa pemain yang mudah terpengaruh dengan nasihat individu di media sosial mengenai karier bola sepak mereka.

Bagaimanapun titah baginda, akhirnya mereka yang terpaksa menanggung akibat, sedangkan ‘penasihat’ tidak bertauliah itu hilang entah ke mana.

Pemain bukan sahaja berdepan detik sukar termasuk tidak dibayar gaji, namun gagal meraih sebarang kejayaan.

“Sudah bertahun cakap. Apa sahaja saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu masa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus dan main kejohanan antarabangsa, cari penyakit dengar cakap penyokong.

“Yang menasihat tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara macam seolah-olah lebih tahu pasal bola sepak dan berpengalaman dalam arena bola sepak,” catat baginda menerusi Insta Story pada Khamis.

Tanpa menyebut mana-mana pemain Tunku Ismail bertitah, kononnya pemain itu dinasihatkan untuk meninggalkan JDT bagi mendapatkan lebih minit permainan.

“Akhirnya, gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada dan main pertandingan antarabangsa pun tiada. Paling tidak di JDT walaupun minit kurang boleh bersara sebagai juara, pengalaman luas dan kewangan pun stabil.

“Yang dinasihat keluar negara pula hanya setakat dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan persembahan pun tak seberapa, rosak. Apabila bersara terpaksa kais sini sana.

“Seorang demi seorang jadi mangsa dengar cakap orang. Kalau nak loan (dipinjamkan) pun biar kelab bantu jadi gaji tak jadi isu, bukan buat sendiri semata mata dengar cakap orang. Sekarang bila dah susah mana muka-muka yang menasihat semua?” catat baginda.

Beberapa pihak termasuk penyokong sebelum ini mendesak beberapa pemain skuad Harimau Selatan dipinjamkan ke pasukan lain untuk mendapatkan lebih minit permainan.

Namun malang menimpa dengan isu pasukan yang berdepan masalah kewangan pada musim ini, ramai pemain yang terjejas dengan tunggakan gaji.

Scroll to Top