RAMAI orang sanggup berhabis wang demi teman berseronok, rela mengorbankan masa dan tenaga untuk kawan bersuka ria, tetapi sejauh mana kita benar-benar bersungguh-sungguh mencari sahabat yang mampu menarik tangan menuju syurga?
Mengertilah, teman yang baik diibaratkan seperti cermin. Andai pantulannya retak, maka rosaklah gambaran akhlak kita. Namun, jika ia bersih dan jernih, maka beninglah perilaku kita pada matanya.
Betapa besarnya peranan rakan dalam membentuk iman dan takwa sehinggakan Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang akan mengikut agama sahabatnya.
Malangnya pada hari ini, kebanyakan orang memilih kenalan hanya berlandaskan keseronokan atau kepentingan duniawi semata-mata, bukan atas nilai yang mendorong ke arah kebaikan.
Natijahnya, kita mudah terperangkap dalam kelompok toksik yang melemahkan keimanan tanpa disedari.
Menerusi teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis, khatib mengingatkan bahawa Islam tidak membiarkan kita bersahabat secara sembarangan, sebaliknya membimbing agar mencari sahabat yang soleh.

SAHABAT yang baik melorongkan kita ke arah kebaikan dan membimbing melakukan amal soleh serta menjauhkan daripada dosa dan maksiat. -Foto: CANVA
Dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: āPerumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti pembawa kasturi dan tukang besi yang meniup api. Pembawa kasturi itu, sama ada dia akan menghadiahkannya kepadamu, atau kamu membelinya daripadanya, atau kamu akan mendapat bau haruman daripadanya. Adapun tukang besi yang meniup air, dia mungkin akan membakar pakaianmu atau kamu akan mendapat bau yang busuk daripadanya.ā (Hadis Riwayat Muslim)
āHadis itu memberi gambaran jelas bahawa sahabat mempunyai kesan langsung kepada diri seseorang.
āJika bersahabat dengan orang soleh, kita akan terkesan dengan akhlak, doa, percakapan dan amalnya. Sebaliknya, jika kita berkawan dengan orang fasik, maksiatnya akan menjadi ikutan dan kita akan rosak bersama,ā katanya menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk āMencari sahabat yang solehā yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis pada minggu lalu.
Ciri-ciri sahabat soleh
Pengaruh seorang sahabat sangat dititikberatkan sehinggakan Rasulullah SAW memberi peringatan mengenainya menerusi hadis berikut:
āSeseorang itu berada di atas agama sahabat karibnya. Maka hendaklah kamu semua melihat dengan siapa kamu bersahabat.ā (Hadis Riwayat Abu Daud)
Menurut Jabatan Mufti Perlis, ia bukan sekadar nasihat biasa, tetapi satu peringatan bahawa sahabatlah yang membentuk diri kita.
āAndai teman baik sendiri memandang ringan soal solat, perlahan-lahan kita juga akan terikut.
āBegitu juga kita rakan karib berani melakukan dosa secara terang-terangan, lama-kelamaan hati kita juga akan terbuka untuk menirunya,ā katanya.
Disebabkan itu, jabatan mufti tersebut menasihatkan agar umat Islam mencari sahabat yang soleh sebagaimana ciri-ciri berikut:

BETAPA besarnya peranan rakan dalam membentuk iman dan takwa sehinggakan Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seseorang akan mengikut agama sahabatnya. -Foto: CANVA
1. Beriman dan bertakwa kepada ALLAH SWT.
Keimanannya yang akan membimbing kita mendekatkan diri kepada-NYA, manakala takwanya menjadikan dia menjaga adab, akhlak dan agama.
2. Sentiasa membantu ke arah kebaikan.
Sahabat yang baik melorongkan kita ke arah kebaikan dan membimbing melakukan amal soleh serta menjauhkan daripada dosa dan maksiat. Apabila kita tersilap langkah, dia tidak berdiam diri, sebaliknya memberi nasihat dengan penuh kasih sayang.
3. Ikhlas kerana ALLAH SWT.
Persahabatan yang ikhlas tidak dibina atas kepentingan dunia semata-mata, tetapi atas dasar iman dan takwa. Keikhlasannya terlihat pada kejujuran, kesetiaan dan pertolongannya tanpa mengharapkan balasan duniawi.
4. Tidak menyebabkan kita menanggung dosa.
Teman yang baik akan menjauhkan diri daripada percakapan yang menghina agama, memperolok-olokkan ayat-ayat ALLAH, di samping menjaga maruah sahabatnya, menutup aibnya dan tidak menjadikan kelemahan temannya sebagai bahan cerita kepada orang lain.
5. Menjauhi perkara-perkara terlarang.
Sebagai contoh, rokok, vape, dadah dan arak serta tidak melibatkan diri dengan sesuatu yang memudaratkan. Rakan yang baik sentiasa menegur kemungkaran dengan penuh hikmah dan mengajak kita menjauhi perbuatan haram.
Jangan salah pilih rakan
Dalam pada itu, Jabatan Mufti Perlis turut mengingatkan ibu bapa supaya memperhatikan siapa sahabat karib yang mendampingi anak mereka agar tidak tersalah pilih hingga tersasar daripada landasan agama.

IBU BAPA dinasihatkan supaya memperhatikan siapa sahabat karib yang mendampingi anak mereka agar tidak tersalah pilih hingga tersasar daripada landasan agama. -Foto: CANVA
āSebagai bapa, perhatikanlah dengan siapa anak-anak kita bersahabat. Jangan biarkan mereka memilih kawan tanpa panduan agama.
āTanyalah siapa kawan mereka dan bimbing mereka agar mendekati rakan-rakan yang soleh serta jauh daripada pengaruh teman yang lalai, kasar, bermulut celupar atau terlibat dengan rokok, vape atau bahan-bahan terlarang,ā nasihat khatib.
Khatib turut berpesan kepada ibu bapa supaya mendidik anak-anak dengan kasih sayang, nasihat dan doa.
āSemoga anak-anak membesar bersama sahabat-sahabat yang mencintai agama dan ilmu serta menjauhi maksiat,ā titip khatib.
*Teks khutbah Jumaat ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Perlis dan diterbitkan menerusi laman web jabatan berkenaan