norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon jelita Malaysia, Carmen Soo, 47, terharu apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik (Drama Bersiri) di Pesta Perdana 2025 yang berlangsung di Singapura pada Sabtu lalu.
Menerusi kemenangan itu, Carmen atau nama sebenarnya Soo Wai Ming berjaya melakar sejarah tersendiri dalam karier lakonan yang diceburi sejak 1997.
Dalam ucapannya, Carmen berkata kejayaan diraih berkenaan adalah momen terindahnya selain, satu pengalaman berharga ketika dia membintangi drama Operandi Gerhana.
“Terima kasih kepada ‘team’ produksi serta semua barisan pelakon drama ini. Saya sejujurnya sangat gembira menerima trofi kemenangan ini dan ia pengalaman sangat bermakna.
“Kejayaan ini juga ditujukan kepada suami saya, Benson dan anak saya, Bea yang banyak memberi inspirasi. Tengok ini (Bea), mommy menang,” katanya dalam ucapan ringkas yang amat bermakna.
Difahamkan Carmen melakonkan watak sebagai Lily dalam drama aksi, Operandi Gerhana itu yang memaparkan dirinya berlakon dengan cukup hebat dan mantap.
Drama Operandi Gerhana berlatarbelakangkan era 1950-an yang memaparkan dua anggota polis menyiasat kes penculikan pegawai atasan mereka di tengah-tengah kekacauan dunia kongsi gelap.
Pada acara anugerah berprestij itu juga Carmen berjaya menewaskan finalis lain iaitu Izyan Mellynna menerusi drama Raja Bundle), Rosita Hussain (Makan INC) dan Wahyu Rahman (Krisalis).
Pesta Perdana adalah acara anugerah anjuran Mediacorp di Singapura untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang pengkarya seni di negara jiran itu dalam industri hiburan Melayu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




