‘Carnation’ untuk wanita

Georgetown: Tersenyum, gembira dan terkejut, itu antara gelagat wanita yang mengunjungi Pasar Awam Bayan Baru, di sini, hari ini, ketika menerima sekuntum bunga sempena Hari Wanita Sedunia 2021.

Sebanyak 260 kuntum bunga ‘carnation’ diberi oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang yang diketuai Pengerusinya, Oh Tong Keong kepada pengunjung wanita di pasar itu.

Katanya, bunga yang sinonim dengan wanita itu diberi sebagai menghargai golongan berkenaan yang tabah mengharungi kehidupan pada masa kini.

“Program ini diadakan di pasar awam berikutan terdapat ramai wanita yang berurusan di sini bagi membeli keperluan dapur untuk kegunaan keluarga.

“Kita sedia maklum wanita pada masa kini serba boleh, mereka berkerjaya namun pada masa sama turut menggalas tugas sebagai suri rumah, isteri dan ibu dengan baik,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Wan Teh Wan Haris, 72, dari Bayan Baru berkata, dia tidak menyedari mengenai sambutan Hari Wanita sehingga menerima kuntuman bunga berkenaan.

“Belum pernah lagi saya terima bunga daripada orang yang tidak dikenali dan tidak sangka pula hari ini adalah hari istimewa kepada wanita.

“Sebagai warga emas, sudah tentulah rasa dihargai dan sekurang-kurangnya memberi keceriaan kepada wanita dalam menempuh kehidupan mereka,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Scroll to Top