KUALA LUMPUR: Slot ke Sukan Olimpik menjadi sasaran utama pengendali skuad hoki kebangsaan, Brendan Carolan biarpun bakal berdepan jadual padat musim ini.
Pada tahun ini, Speedy Tigers akan beraksi Piala Dunia dan Sukan Asia, selain turut berentap dalam kempen Piala Negara-Negara di Afrika Selatan.
Speedy Tigers mempunyai kurang daripada tiga minggu selepas beraksi di Piala Dunia di Belgium dari 14 hingga 30 Ogos sebelum berlepas ke Aichi-Nagoya bagi Sukan Asia dari 19 September hingga 4 Oktober.
Mereka juga perlu beraksi dalam Piala Negara-Negara pada 11 hingga 20 Jun, namun Brendan tetap menjadikan Sukan Asia sebagai keutamaan dalam usahanya memburu tiket ke Sukan Olimpik 2028.
“Saya rasa anda perlu utamakan apakah matlamat kita. Matlamat kita ialah kelayakan Olimpik. Jadi, bagi kita, ini adalah satu langkah untuk memastikan kita bersedia sepenuhnya menjelang bulan September,” katanya.
Brendan mengambil alih Speedy Tigers secara rasmi pada 18 Mac lalu selepas kontrak Sarjit Singh tidak dilanjutkan enggan meletakkan tekanan kepada pemainnya bagi menghadapi Piala Negara-Negara.
“Saya rasa anda perlu menguruskan prestasi pasukan dengan bijak kerana anda tidak mahu mencapai prestasi puncak terlalu awal.
“Jadi, kita tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu kepada pemain tetapi kita mahu bermain dengan sebaik mungkin menjelang September untuk memastikan kita layak ke perlawanan akhir di Sukan Asia,” katanya.
Pemenang pingat emas dalam Sukan Asia ditawarkan slot automaik ke Sukan Olimpik 2028 dan kali terakhir skuad hoki negara beraksi di temasya berprestij itu pada Olimpik Sydney 2000.-UTUSAN




