Carragher percaya karier Slot terancam jika Liverpool gagal layak ke UCL

Carragher percaya karier Slot terancam jika Liverpool gagal layak ke UCL

London: Jamie Carragher percaya tugas Arne Slot akan terancam jika Liverpool gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim ini.

Slot membawa Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan memulakan kempen musim ini dengan lima kemenangan berturut-turut selepas membelanjakan £450 juta (RM2.43 bilion) pada musim panas.

Tetapi, prestasi mereka merudum dengan lima kekalahan dalam enam perlawanan seterusnya, yang menjejaskan harapan untuk menjadi juara berturut-turut.

Liverpool kini berdepan cabaran untuk layak ke UCL selepas menanggung kekalahan pertama dalam 11 perlawanan dengan tewas 2-3 kepada Bournemouth, Ahad lalu, yang meletakkan mereka di tangga keenam EPL, satu mata di belakang Chelsea di tempat kelima dan dua mata di belakang Manchester United di tempat keempat.

Dalam kempen UCL kali ini, mereka akan melayan Qarabag pada awal pagi Khamis ini dan berada di kedudukan keempat di liga 36 pasukan.

Bagaimanapun, jika tewas peluang mereka untuk berada dalam kelompok lapan pasukan layak automatik ke pusingan 16 terbaik mungkin terjejas.

“Jika anda tidak layak ke Liga Juara-Juara, selepas memenangi liga musim sebelumnya dan membelanjakan sebanyak Liverpool, saya rasa anda tiada alasan untuk berdiri teguh,” katanya dalam Monday Night Football.

“Perkara sebenar yang saya risaukan untuk Liverpool dari segi kelayakan Liga Juara-Juara adalah tiga perkara besar yang menonjol dalam EPL sekarang iaitu sepakan sudut, bola balas pantas dan menghadapi pertahanan padat.

“Liverpool tidak mampu mengendalikan mana-mana daripada tiga perkara itu. Apa yang kita lihat ialah satu pasukan di EPL yang tidak sesuai untuk liga.

“Apabila anda mula melihat apa yang telah dilakukan Manchester United dan Chelsea dalam beberapa minggu kebelakangan ini, anda mula nampak Liverpool sebenarnya boleh berakhir di luar kedudukan Liga Juara-Juara. Saya benar-benar bimbang untuk mereka.

“Apabila anda mula bimbang tentang kelayakan Liga Juara-Juara untuk musim depan, itu apabila saya rasa kita bercakap tentang perkara yang benar-benar berbeza apabila membincangkan tugas pengurus. Itu, bagi saya, benar-benar berbeza.

“Jika kita bercakap tentang tidak memenangi liga atau mencabar liga, itu adalah tanggungjawab bersama, dan Liverpool tidak memenangi liga setiap tahun.

“Gagal layak ke Liga Juara-Juara selepas menjadi juara, membelanjakan £450 juta dan mempunyai gaji tertinggi dalam EPL, yang biasanya faktor paling besar menentukan kedudukan akhir liga, saya rasa itu menimbulkan persoalan serius.”

Carragher berkata, Liverpool harus mempercepatkan sebarang perancangan perpindahan pertahanan pada musim panas ke jendela perpindahan ini, tetapi mereka tidak boleh membeli secara panik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top