Carrick gesa Man United usah dabik dada

Carrick gesa Man United usah dabik dada

London: Michael Carrick memberi amaran kepada pemain Manchester United supaya tidak terlalu hanyut dengan kemenangan menakjubkan ke atas Manchester City dan Arsenal menjelang perlawanan menentang Fulham, esok.

Carrick memulakan tugasnya sebagai pengurus sementara dengan cemerlang apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas City sebelum meneruskan rentak itu dengan kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Selepas keputusan mengejutkan ke atas dua pasukan teratas liga itu, United dilihat sebagai pilihan untuk menewaskan Fulham yang berada di tangga ketujuh di Old Trafford, esok.

Kemenangan ketiga berturut-turut United bakal menyamai rekod terbaik liga di bawah Ruben Amorim dalam tempoh kepimpinannya yang bergolak sebelum dipecat awal bulan ini, sekali gus memberi peluang kepada Carrick untuk terus mengendalikan pasukan sehingga penghujung musim.

“Mood dalam skuad, ditambah dengan keputusan serta prestasi yang kami raih, saya tidak fikir apa yang berlaku sebelum ini terlalu relevan menjelang perlawanan seterusnya.

“Kami faham apa yang pernah menjadi dan apa yang tidak berhasil, tetapi secara keseluruhan saya rasa pemain berada dalam keadaan yang baik untuk menghadapi perlawanan ini.

“Tiba-tiba ia menjadi perlawanan berbeza, menentang Fulham. Hanya kerana kami bermain di laman sendiri, sebarang sikap mengambil mudah adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima,” kata Carrick mengenai permulaan positifnya.

Carrick turut memaklumkan United yang kini berada di tangga keempat liga sedang memantau pasaran perpindahan menjelang tarikh tutup Isnin ini selepas pemain pertahanan, Patrick Dorgu, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan hamstring ketika menentang Arsenal.

Pemain berusia 21 tahun yang sedang berada dalam prestasi terbaik dijangka ‘berehat untuk satu tempoh tertentu’, menurut Carrick, selepas laporan menyatakan kecederaannya boleh memakan masa sehingga 10 minggu.

“Tidak pernah menutup kemungkinan, kerana banyak perkara boleh berlaku dan situasi boleh berubah. Ada kalanya ia dalam kawalan kami, ada masanya di luar kawalan dan kami perlu menanganinya.

“Kami tenang, saya sendiri agak tenang. Saya rasa kami sudah menunjukkan kemampuan sebenar sebagai satu pasukan dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top