Carrick pilihan utama ganti Fletcher bimbing Man United

Carrick pilihan utama ganti Fletcher bimbing Man United

London: Michael Carrick muncul sebagai calon pilihan untuk dilantik sebagai ketua jurulatih sementara Manchester United, menurut sumber yang rapat dengan proses itu.

Pengurusan kelab berharap dapat membuat pelantikan sebelum pemain kembali menjalani latihan pada Rabu.

Walaupun keputusan muktamad belum dibuat, rundingan dikatakan sudah berjalan dengan lelaki berusia 44 tahun itu mengenai jawatan berkenaan.

Carrick sebelum ini pernah memimpin United dalam tiga perlawanan sebagai pengurus sementara selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat pada 2021.

Beliau memenangi dua perlawanan dan seri satu ketika itu, namun meninggalkan kelab selepas ketibaan Ralf Rangnick sebagai pengurus interim.

Solskjaer mengadakan perbincangan bersemuka dengan kelab pada Sabtu lalu mengenai kemungkinan kembali bertugas.

Pada 5 Januari lalu, United memecat Ruben Amorim sebagai pengurus selepas 14 bulan berkhidmat.

Bekas pemain tengah United dan Scotland, Darren Fletcher pada mulanya diberi tanggungjawab sementara mengendalikan pasukan utama susulan pemergian Amorim.

United tewas kepada Brighton dalam pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi, yang dijangka menjadi perlawanan kedua dan terakhir Fletcher sebagai pengendali.

Beliau sebelum itu membawa pasukan seri menentang Burnley yang bergelut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu lalu.

Bekas pemain tengah England, Carrick, membuat 464 penampilan dalam semua pertandingan untuk United antara 2006 hingga 2018 selepas dibawa masuk dari Tottenham oleh Sir Alex Ferguson.

Beliau tidak mempunyai kelab sejak dipecat oleh Middlesbrough pada Jun lalu selepas dua setengah tahun mengendalikan pasukan itu.

Carrick membawa Boro ke play-off Kejuaraan pada musim 2022–23 sebelum mereka tewas kepada Coventry pada peringkat separuh akhir.

Pasukannya kemudian hampir layak ke enam teratas dalam dua musim berturut-turut, namun kegagalan itu menyebabkan Carrick kehilangan jawatan.

Carrick, yang berasal dari Wallsend, tidak memiliki pengalaman pengurusan sebanyak Solskjaer kerana hanya pernah memegang satu jawatan tetap bersama Middlesbrough.

Selepas bersara daripada karier pemain yang cemerlang di Old Trafford, Carrick menyertai barisan kejurulatihan Jose Mourinho di United pada akhir musim 2017-18.

Selepas pengendali dari Portugal itu dipecat, Carrick dikekalkan sebagai jurulatih pasukan utama sepanjang tempoh 168 perlawanan di bawah kendalian Solskjaer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top