Carsome syarikat pertama tampil jayakan CSR kelas bahasa asing di Putrajaya

Carsome syarikat pertama tampil jayakan CSR kelas bahasa asing di Putrajaya

PUTRAJAYA – Syarikat automotif digital, Carsome tampil sebagai syarikat pertama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menjayakan inisiatif kelas bahasa antarabangsa untuk kanak-kanak di Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu merupakan langkah menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar generasi muda Malaysia menguasai bahasa antarabangsa.

Menurutnya, program rintis yang melibatkan empat bahasa antarabangsa iaitu, Inggeris, Mandarin, Arab dan Korea dilaksanakan khusus untuk kanak-kanak di sekitar Putrajaya membabitkan sumbangan dana RM40,000 daripada Carsome.

“Seperti saya nyatakan, pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan kerjasama strategik dengan swasta dan korporat supaya konsep pemilikan bersama dapat diwujudkan.

“Carsome telah bertapak di Putrajaya pada Januari lalu dan saya yakin kerjasama strategik pertama mereka bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) akan berlanjutan, “katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Inisiatif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Mobiliti Komuniti Putrajaya di bilik pameran Carsome, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng dan Presiden PPj Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir.

Ujar Hannah, program tersebut akan dilaksanakan dalam dua kohort sepanjang tahun ini dengan setiap kohort berlangsung selama lapan minggu.

“Kohort pertama dijadualkan bermula pada 11 April hingga 14 Jun, manakala kohort kedua pula dari 11 Julai hingga 6 September.

Setiap kohort melibatkan empat kelas bahasa yang dijalankan secara serentak di lokasi berbeza dengan kapasiti sekitar 30 pelajar bagi setiap kelas dan secara keseluruhan, program itu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 240 pelajar bagi tahun ini,” jelas beliau.

Kelas Mandarin diadakan di Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) Presint 8, kelas Inggeris (PPK Presint 9), bahasa Arab (PPK Presint 11) dan Korea pula di PPK 16.

Dalam pada itu, Hannah berkata, bayaran minimum RM20 yang dikenakan bukan bertujuan mengaut keuntungan sebaliknya bagi memastikan komitmen ibu bapa.

“RM20 yang Perbadanan Putrajaya kenakan bukan kerana mereka hendak duit tetapi mahukan komitmen kerana kalau kita buat kelas percuma, ada yang akan berdaftar tetapi datang satu kelas, tidak datang yang kedua,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan fizikal dipilih berbanding sepenuhnya dalam talian bagi memastikan keberkesanan pembelajaran bahasa.

“Kalau tiada usaha untuk berkomunikasi, memang tidak boleh belajar bahasa. Selalunya kita boleh membaca daripada buku, tetapi jika tiada rakan untuk berlatih, maka mereka akan cepat lupa,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihan bahasa yang ditawarkan, beliau berkata, ia adalah berdasarkan keperluan dan permintaan semasa komuniti di Putrajaya termasuk kadar penyertaan terdahulu serta maklu balas ibu bapa serta peserta.

“Program tersebut terbuka kepada komuniti Putrajaya yang berusia tujuh tahun ke atas pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memanfaatkan cuti hujung minggu,” jelas Hannah.

Dalam pada itu, Hannah menjelaskan PPj sedang bekerjasama dengan Kemneterian Pendidikan bagi meneroka pengiktirafan sijil penyertaan program tersebut sebagai sebahagian sokongan dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan, dan Kokurikulum (PASJK).

“Saya menyeru agar peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak- anak Putrajaya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, memperluaskan horizon pemikiran dan emmperkukuhkan daya saing mereka pada masa akan datang,” katanya.

 

Scroll to Top