PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi melaksanakan perlindungan sosial kepada pekerja gig menerusi integrasi sistem berasaskan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bersama penyedia platform.
Langkah strategik ini membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik daripada setiap transaksi pendapatan pekerja tanpa memerlukan campur tangan manual, sekali gus meningkatkan tahap kecekapan, ketelusan dan pematuhan dalam sektor berkenaan.
PERKESO dalam kenyataan berkata, ia menggesa semua penyedia platform gig untuk memastikan sistem masing-masing sedia untuk disepadukan dengan segera agar proses perlindungan dapat berjalan dengan lancar dan pantas.
“Inisiatif terbaharu ini adalah selari dengan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang mewajibkan semua penyedia platform mendaftarkan pekerja gig di bawah seliaan mereka secara sah dengan PERKESO.
“Penyedia platform yang masih belum berdaftar tetap tertakluk kepada tanggungjawab untuk mendaftar dan memotong caruman bagi memastikan nasib golongan pekerja ini terus dilindungi mengikut undang-undang,” katanya.
Menurut PERKESO, di bawah mekanisme baharu itu, caruman pada kadar 1.25 peratus akan dipotong secara automatik daripada setiap transaksi pembayaran sebaik sahaja sesuatu tugasan diselesaikan oleh pekerja gig terbabit.
Katanya, pendekatan ini dilihat mampu memperluaskan liputan keselamatan sosial secara konsisten, selain memastikan pekerja mendapat perlindungan sewajarnya tanpa menjejaskan fleksibiliti yang menjadi teras kepada ekonomi gig.
Sementara itu, statistik PERKESO mendedahkan trend membimbangkan apabila jumlah kemalangan di bawah skim LINDUNG Kendiri terus menunjukkan peningkatan sejak tiga tahun lalu.
Berdasarkan data, sebanyak 4,021 kes dilaporkan pada 2023, meningkat kepada 4,839 kes (2024) dan terus melonjak kepada 5,496 kes pada tahun lalu, sekali gus menuntut perhatian serius semua pihak.
Peningkatan itu turut dicerminkan melalui jumlah penerima faedah yang mencatatkan 6,294 orang pada 2023 sebelum mencecah 7,893 orang pada 2025, yang memberi isyarat jelas betapa kritikalnya aspek perlindungan sosial ketika ini.
Pelaksanaan Akta 872 juga meletakkan Malaysia sebagai antara negara terawal di rantau ini yang mempunyai kerangka perundangan khusus dan komprehensif mengawal selia kebajikan pekerja dalam sektor dinamik tersebut.
“PERKESO akan terus memperluaskan capaian perlindungan kepada lebih ramai individu, termasuk golongan bekerja sendiri, bagi memastikan tiada sesiapa yang tercicir daripada jaringan keselamatan sosial negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




