Cassidy raih kemenangan sulung Formula E buat Citroen

Cassidy raih kemenangan sulung Formula E buat Citroen

Mexico City: Nick Cassidy menghadiahkan Citroen kemenangan pertama dalam Formula E pada Sabtu di Mexico City, sekali gus meraih kemenangan sulungnya musim ini dalam saingan yang berlangsung sengit dan penuh insiden.

Pelumba dari New Zealand itu berjaya merampas kedudukan pendahulu kejuaraan dengan 40 mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Sao Paulo bulan lalu.

“Suasana di sini tiada tandingan. Untuk menang bersama Citroen, ia satu permulaan yang seperti mimpi dan detik yang sangat istimewa,” kata Cassidy.

“Ada statistik yang mengatakan sesiapa yang menang perlumbaan ini akan menjadi juara keseluruhan, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang itu”.

Pelumba Switzerland, Edoardo Mortara dari pasukan Mahindra, menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas mempamerkan aksi yang mantap.

Mortara mengenepikan Oliver Rowland dari Nissan yang menamatkan saingan di tempat ketiga.

Bekas pelumba Formula Satu, Nyck de Vries, pula melalui hari yang sukar apabila berdepan masalah jentera dan terpaksa menghentikan perlumbaan di pusingan ke-17, sekali gus mengibarkan bendera kuning dan menambah lagi kekecohan perlumbaan.

Selepas perlumbaan disambung semula dengan baki 13 pusingan, masalah terus melanda apabila Antonio Felix da Costa terlibat dalam perlanggaran dengan Maximilian Gunther dari DS Penske serta Jean-Eric Vergne dari Citroen pada pusingan ke-26.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top