Singapura: Dengan sorakan gemuruh dari ribuan peminat, Mark Cavendish menutup karier berbasikal yang penuh bersejarah dengan kemenangan terakhir di Kriterium Tour de France Singapura.
Pada usia 39 tahun, Cavendish, yang sudah menjulang 166 kemenangan sepanjang kariernya, meraih kemenangan terakhirnya dengan cara yang hanya dapat dilakukan oleh seorang legenda.
“Saya sangat mahukan kemenangan ini,” kata Cavendish dengan suara yang bergetar selepas melintasi garisan penamat.
“Saya sangat emosional. Saya sedar, lima pusingan terakhir ini adalah 15 kilometer terakhir dalam karier saya. Rasanya begitu berbeza, saya seperti berada di penghujung satu perjalanan panjang.”
Perlumbaan itu, yang berlangsung dalam cuaca panas dan lembap di Singapura, menyaksikan Cavendish memberikan satu lagi pecutan yang menggamit kenangan.
Dalam pusingan terakhir, dia memintas juara bertahan, Jasper Philipsen, dengan ketepatan dan kelajuan yang mengingatkan dunia mengenai kemampuan pecutan yang luar biasa.
Sebelum melintas garisan penamat, Cavendish sempat menoleh ke belakang — sekadar memastikan tiada cabaran terakhir yang datang.
Kemudian, dia mengangkat tangannya dengan penuh kegembiraan, memanfaatkan detik terakhir itu untuk meraikan karier yang telah memberikan segala-galanya kepadanya.
“Apabila saya keluar dari selekoh terakhir dan melihat peluang itu, saya tahu ini adalah peluang terakhir saya. Tenaga saya terlalu terhad, tetapi saya masih cuba memberikan yang terbaik,” tambah Cavendish, yang memegang rekod kemenangan terbanyak dalam sejarah Tour de France.
Philipsen, pelumba Belgium yang masih muda, menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Arnaud De Lie, juga dari Belgium, memperoleh tempat ketiga.
Bagi Cavendish, kemenangan ini bukan sekadar satu lagi trofi, tetapi simbol sempurna untuk menutup 19 tahun yang penuh warna-warni dalam dunia berbasikal profesional.
“Saya sebenarnya takut akan terjatuh atau tersilap langkah. Tetapi, saya bernasib baik hari ini. Saya bergantung kepada tayar Philipsen dan mengikutinya hingga ke garisan penamat.”
“Saya tak dapat bayangkan penghujung yang lebih baik daripada ini. Ia adalah penghormatan yang terbesar,” kata Cavendish, dengan air mata yang hampir mengalir.
© New Straits Times Press (M) Bhd




