am@hmetro.com.my
Jerantut: Ketukan kuat di pintu rumah secara tiba-tiba mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk beberapa kampung dan kawasan perumahan di daerah ini.
Kejadian misteri itu didakwa berlaku berulang kali sejak awal pagi Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, sekurang-kurangnya 20 rumah di sekitar Kampung Sajang (Simpang Tebing Tinggi) dan Perias mendakwa menjadi sasaran ketukan pintu oleh individu tidak dikenali.
Penduduk, Safarudin Yusof, 59, dari Kampung Sajang berkata, kejadian itu berlaku secara mengejut sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat.
Menurutnya, perkongsian di media sosial serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik penduduk turut menimbulkan tanda tanya apabila tiada kelibat individu dikesan berada di luar rumah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada kejadian tidak diingini, kecederaan atau kehilangan harta benda dilaporkan berlaku di kawasan terjejas,” katanya.
Penduduk Taman Temin Utama, Rosmaidi Sulaiman berkata, kejadian ketukan pintu misteri bukan perkara baharu apabila insiden seumpamanya pernah dilaporkan berlaku di beberapa daerah di Pahang dan negeri berhampiran.
Katanya, kejadian sedemikian sering mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk kemungkinan perbuatan khianat atau usikan individu tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Noor Azman Yusof menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengutamakan keselamatan diri dan kediaman.
Beliau meminta penduduk tidak membuka pintu sewenang-wenangnya tanpa mengenal pasti individu di luar rumah, selain memastikan pintu dan tingkap berkunci serta memasang lampu keselamatan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak keluar bersendirian untuk memeriksa keadaan mencurigakan dan tidak menyebarkan maklumat belum disahkan di media sosial.
“Jika berlaku gangguan atau terlihat individu mencurigakan, orang ramai diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut menerusi talian 09-2662222 atau Bilik Gerakan di talian 09-2661999,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




