Cedera di hidung tak halang Paul bersedia hadapi Joshua

Cedera di hidung tak halang Paul bersedia hadapi Joshua

New York: Jake Paul mengesahkan dia mengalami kecederaan hidung ketika perlawanan menentang bekas juara heavyweight dunia dua kali, Anthony Joshua hanya tinggla seminggu lagi.

Paul, 28, bekas YouTuber yang kini bergelar petinju, berkata kecederaan itu bertambah teruk ketika sesi latihan bagi persiapan perlawanan pada 19 Disember di Miami.

“Ia makin senget, bro,” kata Paul semasa muncul dalam program “The Pat McAfee Show” Rabu lalu.

“Tak nak tipu. Berlatih dengan petinju heavyweight, hidung saya bergerak beberapa milimeter sepanjang kem latihan ini.”

“Seorang bernama Frank Sanchez memang ada hentak sikit, jadi memang ada sedikit masalah di situ. Tapi ya, serius, memang teruk. Tengok ni,” kata Paul yang tidak mengesahkan sama ada hidungnya patah, tetapi kelihatan sedikit tidak sejajar.

Perlawanan lapan pusingan bertajuk “Jake vs. Joshua: Judgment Day” akan berlangsung di Kaseya Center dan disiarkan secara langsung di Netflix, dengan kedua-dua petinju memakai sarung tangan 10-ounce.

Joshua (28-4, 25 KO) berusia 36 tahun dan belum bertinju sejak tewas kepada Daniel Dubois ketika pusingan kelima pada 21 September 2024 di London.

Paul (12-1, tujuh KO) memenangi enam perlawanan terakhir, termasuk keputusan sebulat suara 10-pusingan menentang Julio Cesar Chavez Jr. pada 28 Jun di Anaheim, California.

Joshua memenangi pingat emas super-heavyweight pada Sukan Olimpik London 2012 dan menang 24 daripada 25 perlawanan pro pertama sebelum tewas berturut-turut kepada Oleksandr Usyk dari Rusia pada 2021 dan 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top