CelcomDigi, Bridge Alliance jalin kerjasama perkukuh keselamatan kewangan digital

CelcomDigi, Bridge Alliance jalin kerjasama perkukuh keselamatan kewangan digital

Kuala Lumpur: CelcomDigi Bhd menjalin kerjasama dengan Bridge Alliance untuk meningkatkan keselamatan urus niaga kewangan digital dan memajukan inovasi API-sebagai-Perkhidmatan bagi menyokong agenda ekonomi digital Malaysia.

Kedua-dua pihak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini, menandakan penyertaan CelcomDigi dalam program rakan Bridge Alliance API Exchange (BAEx).

API, program Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi adalah satu set peraturan dan protokol yang membolehkan aplikasi perisian berbeza berhubung antara satu sama lain.

“API CelcomDigi akan lebih mudah diakses melalui pertukaran terbuka BAEx, memudahkan pemaju dan perusahaan global membina perkhidmatan selamat tanpa penyepaduan telekomunikasi individu yang rumit,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, dengan membuka API telekomunikasi yang selamat dan saling beroperasi, ia memperkasa ekosistem perkhidmatan kewangan untuk menyediakan pengalaman digital lancar, pintar dan lebih dipercayai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bridge Alliance, Ong Geok Chwee berkata, kerjasama itu akan meningkatkan liputan pasaran dan menyediakan peluang baharu melalui rangkaian API yang diselaraskan pasaran untuk membolehkan transformasi digital dalam rakan ekosistem, pemaju dan perusahaan merentas sektor seperti perbankan, fintech (teknologi kewangan), e-dagang dan perjalanan.

Bridge Alliance ialah perikatan utama yang dibentuk oleh syarikat telekomunikasi terkemuka di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

Manakala BAEx pula adalah inisiatif diterajui industri yang membolehkan syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian menyediakan API berasaskan CAMARA melalui rangka kerja seragam yang sejajar dengan piawaian Open Gateway GSMA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top