Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memeterai perjanjian strategik selama 15 tahun dengan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) bagi menyediakan infrastruktur ketersambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP 4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
Kerjasama itu membolehkan CelcomDigi menyediakan infrastruktur gentian optik serta penyelesaian ketersambungan perusahaan bagi menyokong operasi dan usaha pendigitalan syarikat yang beroperasi di zon perindustrian berkenaan.
Menerusi perjanjian itu, CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di IZP 4A serta menawarkan pelbagai penyelesaian perusahaan kepada penyewa baharu, termasuk Dedicated Internet Access (DIA), Private Leased Lines (PLL), IPVPN, Managed Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) dan perkhidmatan Managed Fibre.
Penyelesaian ketersambungan berkenaan akan disesuaikan mengikut keperluan penyewa yang dijangka berkembang seiring pembangunan zon perindustrian terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Datuk Mohd Sahil Zabidi berkata, pembangunan berterusan KHTP bukan sekadar memperluas kapasiti perindustrian, malah mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan berkembang dan pelaburan terus meningkat.
Beliau berkata, kerjasama dengan CelcomDigi akan memastikan IZP 4A dilengkapi infrastruktur gentian optik yang diperlukan pengeluar baharu bagi menyokong operasi serta pembangunan jangka panjang taman perindustrian itu.
“Kami berharap kemajuan ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah, mewujudkan lebih banyak peluang untuk bakat dan perniagaan tempatan, serta mengukuhkan sumbangan Koridor Utara terhadap masa depan perindustrian Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan berkata, ketersambungan digital menjadi pemangkin penting kepada kemajuan ekonomi negara dengan membantu perniagaan meningkatkan daya saing dan menyokong perkembangan industri.
Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan komitmen CelcomDigi untuk menyediakan infrastruktur gentian optik dan keupayaan penyelesaian perusahaan bagi menyokong pembangunan KHTP Fasa 4A serta aspirasi perindustrian Kedah.
Kerjasama berkenaan turut selari dengan aspirasi pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
CelcomDigi berharap kerjasama itu dapat membantu merealisasikan potensi pelaburan di Koridor Utara serta menyokong pertumbuhan lebih banyak industri berteraskan teknologi di seluruh negara.
KHTP yang ditubuhkan pada 1996 kini berkembang menjadi hab perindustrian utama di Kedah dengan menarik pelaburan serta mewujudkan peluang pekerjaan menerusi pelbagai aktiviti pembuatan berteknologi tinggi.
Setakat suku kedua 2026, taman perindustrian itu merekodkan pelaburan terkumpul sebanyak RM189.4 bilion dan menyediakan peluang pekerjaan kepada 48,813 tenaga kerja.
Seiring perkembangan KHTP, keperluan terhadap infrastruktur ketersambungan berkapasiti tinggi dan boleh dipercayai semakin penting bagi menyokong operasi pengeluar dalam persekitaran perindustrian yang semakin bergantung kepada teknologi digital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




