kartika@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), komited untuk melengkapkan 5,000 tenaga muda Malaysia dengan pengetahuan, pengalaman praktikal serta kemahiran masa hadapan dalam bidang kecerdasan buatan (Al), teknologi, data dan analitik menerusi inisiatif program CD:NXT.
CD:NXT adalah inisiatif strategik jangka panjang oleh CelcomDigi untuk melahirkan generasi profesional baharu yang mahir dalam Al dan bersedia menerajui transformasi digital negara.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, pihaknya percaya kekuatan sesebuah negara digital bergantung kepada potensi rakyatnya.
Katanya, CD:NXT mencerminkan komitmen jangka panjang CelcomDigi untuk membentuk generasi rakyat Malaysia yang dilengkapi kemahiran, pemikiran dan keyakinan untuk mengemudi industri yang kini dibentuk oleh 5G dan Al serta teknologi dan inovasi generasi akan datang.
“Inisiatif pupuk bakat ini sebahagian daripada usaha kami untuk melonjakkan cita-cita digital Malaysia dengan melahirkan pemikir, pembina dan pemimpin yang akan memacu masa depan digital dan ekonomi negara.
“Kami amat teruja kerana anak muda ini bukan sahaja akan menyertai tenaga kerja kami, bahkan bakal memacu industri ke hadapan,” katanya di majlis pelancaran CD:NXT di sini, hari ini.
Hadir merasmikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Idham berkata, usaha yang digembleng itu bertujuan untuk membina golongan profesional yang siap siaga untuk industri, Al native’ yang melihat inisiatif ini sebagai sebahagian perjalanan pembangunan diri mereka sendiri.
CD:NXT adalah program dibina dengan kerjasama strategik rakan teknologi dan universiti ini menawarkan kurikulum menyeluruh seiring keperluan industri serta peranan pekerjaan yang menumpukan kemahiran digital kritikal, bertujuan meningkatkan kebolehpasaran individu dan memupuk generasi yang komited terhadap kelestarian dan pertumbuhan inklusif.
CD:NXT akan membina barisan bakat Al yang bersedia untuk masa hadapan melalui tiga program utama iaitu Young Talent Programme (YTP), CelcomDigi UniConnects dan Program Duta Pelajar.
Pada peluncuran terbabit, CelcomDigi menyambut 20 bakat muda kohort pertama kumpulan yang dipilih secara telus menyerlah ke Program CD:NXT Young Talent daripada 3,600 calon yang kompetitif melalui saringan kognitif serta dinilai oleh beberapa lapisan kepemimpinan CelcomDigi.
Semua individu terbabit mewakili bakat muda paling cemerlang negara, dipilih berdasarkan potensi tinggi dan kepakaran luar biasa mereka dalam bidang digital kritikal.
Selain itu, menerusi CD:NXT, CelcomDigi melabur dalam bakat muda sebagai pemacu utama masa hadapan digital Malaysia.
Dengan memperkasakan anak muda melalui kemahiran dan pemikiran untuk cemerlang dalam dunia 5G-AI, CelcomDigi membantu membina negara digital yang maju, berdaya saing di peringkat global dan membangun secara inklusif.
© New Straits Times Press (M) Bhd