Cemburu dipercayai motif lelaki bunuh isteri hamil dengan lesung batu

Cemburu dipercayai motif lelaki bunuh isteri hamil dengan lesung batu

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Lelaki warga Myanmar yang membunuh isterinya dengan kejam menggunakan lesung batu di rumah sewa mereka di Kampung Makam di sini, hari ini, dipercayai bermotifkan cemburu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, suspek yang berketurunan etnik Rohingya itu sudah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk direman.

“Permohonan reman dijangka selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 kali sebatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian terbabit berlaku jam 7.42 pagi sebelum orang awam memaklumkan polis berhubung kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal polis menemui seorang wanita hamil tujuh bulan terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di bahagian kepala dipercayai dihentak dengan objek tumpul.

“Mangsa yang juga etnik Rohingya disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi yang hadir di lokasi.

“Susulan itu polis menahan suami mangsa iaitu seorang lelaki warga asing berusia 30-an di lokasi kejadian iaitu rumah sewa pasangan terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan Pegawai Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta menemukan lesung batu yang disyaki digunakan suspek sebagai senjata.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top