GEORGE TOWN : Polis tidak menolak kemungkinan bahawa faktor cemburu mungkin menjadi punca seorang ibu tunggal mati dibunuh dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Flat Sri Murni, Sungai Dua, Butterworth, Rabu lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini untuk mengenal pasti motif sebenar pembunuhan tersebut.
“Polis masih menyiasat (motif sebenar pembunuhan),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 41 tahun dijumpai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kelar pada bahagian leher.
Menurut polis, mangsa bekerja sebagai pemandu van sekolah dan kejadian berkenaan disedari oleh jirannya sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada polis.
Susulan tragedi itu juga, tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar direman sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN




