hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Ampang: Cemburu dalam perniagaan dipercayai menjadi punca pemilik pusat kecantikan di sebuah pusat perniagaan di Taman Dagang, Ampang, di sini diugut seorang peniaga lain.
Kejadian kira-kira jam 9.45 malam, 26 Ogos lalu itu membabitkan dua wanita yang menjalankan perniagaan di aras sama di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 58 tahun berada di dalam premis sebelum didatangi suspek yang juga peniaga di kawasan perniagaan sama.
Katanya, suspek memarahi mangsa sambil menjerit dan mengeluarkan kata kesat sehingga menimbulkan ketakutan kepada pelanggan di dalam premis serta orang awam di kawasan sekitar.
“Bertindak hasil laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek, iaitu seorang wanita tempatan kira-kira 5 petang pada 28 Ogos lalu di sekitar Ampang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 46 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan
siasatan mendapati punca kejadian dipercayai kerana masalah peribadi antara dua wanita berkenaan.
“Suspek sering bercerita perkara buruk mengenai keluarga mangsa dan keduanya cemburu berkenaan perniagaan masing-masing.
“Suspek direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 30 Ogos lalu. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.
Mohd Azam berkata, bagaimanapun, tiada sebarang sentuhan fizikal dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.
Katanya, mangsa menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan sejak lebih dua tahun dan pernah bertengkar mulut dengan suspek sebelum ini yang mana masalah itu dipercayai berlarutan sejak dua bulan lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




