nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Polis mengesahkan wanita mati ditikam suami di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah pagi semalam bermotifkan cemburu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.
“Suspek dalam keadaan yang marah terlampau sehingga bertindak menikam isterinya. Kita boleh kata kejadian ini bermotifkan cemburu dan suspek mengesyaki isterinya ada lelaki lain.
“Ujian air kencing juga adalah negatif dadah dan suspek seorang penganggur. Suspek juga seorang yang normal dan tidak mempunyai masalah mental,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mangsa ditikam dengan satu tikaman di badan sehingga mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 10 pagi semalam, mangsa, Mastura Abdullah, 40, maut selepas dipercayai ditikam suaminya dengan senjata tajam di kediaman mereka.
Suspek dikatakan membunuh isterinya jam 10 pagi dan keluar mengambil anak di sekolah jam 12 tengahari sebelum menyerah diri di balai polis.
Suspek dikatakan cemburu dan mengesyaki isteriya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




