am@hmetro.com.my
Rembau: Diuji osteosarcoma atau kanser tulang sehingga menjalani tujuh kali sesi kemoterapi dan terpaksa menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hospital bersendirian, tahun lalu.
Itu pengalaman yang perlu dilalui pelajar cemerlang, Aaron Darwisy Nor Fakrulzari, 18, dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Segala kesukaran itu bagaimanapun tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) itu mencatat keputusan membanggakan apabila memperoleh 8A dan 1B dalam SPM yang diumumkan semalam.
Aaron berkata, dia mula menyedari sesuatu tidak kena pada bahu kanan selepas mengalami kesakitan ketika bermain bola sepak sebelum pemeriksaan lanjut di hospital swasta mendapati terdapat tumor, September tahun lalu.
“Selepas buat pemeriksaan di hospital, doktor sahkan saya menghidap kanser tulang dan mencadangkan supaya tangguhkan SPM kerana perlukan lalui sesi kimoterapi dan pemantauan doktor, selain jarak rumah dan sekolah yang jauh.
“Tapi saya merayu kepada ibu supaya benarkan saya ambil juga peperiksaan sebab tidak mahu tangguh pelajaran satu tahun.
“Ibu saya maklumkan saya boleh ambil SPM tetapi perlu di hospital dengan pemantauan pengawas peperiksaan,” katanya.
Aaron berkata, dia kemudian menduduki semua kertas peperiksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) secara bersendirian atas faktor kesihatan dan tidak boleh berada di kawasan sesak kerana risiko jangkitan.
“Pengalaman menjawab peperiksaan tanpa rakan di sisi memberi cabaran besar dari segi emosi dan mental.
“Hari pertama kertas peperiksaan Bahasa Melayu, saya rasa sedih sebab tak dapat jawab bersama kawan-kawan. Bila guru kongsikan gambar mereka masuk dewan peperiksaan, saya rasa sedikit terasing.
“Tapi saya cuba kuatkan semangat dan fokus pada peperiksaan,” katanya.
Tambahnya, keadaan kesihatan yang tidak menentu turut mengganggu tumpuan apabila terpaksa menjalani pemindahan darah serta berdepan jangkitan ketika peperiksaan SPM berlangsung.
“Ada satu malam, saya pitam selepas pemindahan darah dan tak sempat buat ulang kaji, sedangkan esoknya ada subjek Sejarah.
“Selain itu, kesan kemoterapi menyebabkan imuniti badan saya rendah hingga menjejaskan penglihatan ketika menjawab kertas Matematik Tambahan.
“Memang rasa keseorangan, kadang-kadang semangat jatuh juga bila tengok kawan belajar bersama, tapi saya cuba cari cara sendiri untuk ulang kaji dan teruskan juga walaupun susah,” katanya.
Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, kata-kata semangat ibu bapanya menjadi kekuatan untuk tidak berputus asa dan bangkit dengan semangat semula.
Anak kepada pasangan pensyarah, Nor Fakrulrazi Ismail, 49, dan Dr Norfardilawati Musa, 48, itu kini masih meneruskan rawatan kemoterapi dengan tujuh sesi sudah dilalui dan berbaki lima lagi.
“Alhamdulillah, saya bersyukur peroleh gred A+ bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Kimia; gred A (Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik); gred A- (Matematik Tambahan dan Fizik) serta gred B bagi subjek Biologi.
“Lebih membanggakan, keputusan SPM hari ini menunjukkan peningkatan berbanding keputusan Peperiksaan Percubaan SPM sebelum ini iaitu 6A dan 3B.
“Saya bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kimia tulen di Jepun dan sedang memohon biasiswa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




