Sehingga saat ini, Laporan Agensi Antidadah Kebangsaan 2025 menunjukkan hampir 60 peratus daripada hampir 193,000 kes penyalahgunaan dadah yang dilaporkan di Malaysia membabitkan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun.
Ia satu angka yang amat membimbangkan bagi generasi yang sepatutnya menjadi tunjang masa depan negara.
Situasi ini berlaku dalam konteks dua cabaran utama yang semakin serius dihadapi golongan muda hari ini iaitu peningkatan penggunaan dadah sintetik serta kemerosotan kesihatan fizikal, mental dan sosial secara menyeluruh.
Kedua-dua isu ini saling berkait dan membentuk krisis kompleks yang jika tidak ditangani secara tuntas, berisiko menggugat kestabilan sosial dan pembangunan negara dalam jangka panjang.
Masalah penyalahgunaan dadah kini semakin rumit apabila sumbernya datang dari individu yang dikenali seperti jiran, saudara, malah kenalan keluarga sendiri.
Laporan media tempatan kerap melaporkan kes yang mana remaja memperoleh dadah daripada pengedar dewasa dalam kawasan perumahan sama, menjadikan pengedar bukan lagi ‘orang asing’, tetapi sebahagian daripada lingkaran sosial harian.
Dadah sintetik yang sering disalahgunakan bukan sahaja mudah diperoleh dalam bentuk pil, kristal, serbuk atau semburan rokok elektronik, malah turut disamarkan dalam produk harian seperti gula-gula, minuman tenaga, pen penanda, ubat batuk, pelekat, vape berperisa buah-buahan, bahkan makanan ringan yang dipaket semula.
Fenomena ini mencerminkan isu dadah sudah meresap dalam semua lapisan masyarakat, sekali gus menggambarkan sikap mementingkan diri dan kekurangan tanggungjawab sosial dalam komuniti kita hari ini.
Kesan penyalahgunaan dadah terhadap belia bukan sahaja membabitkan kesihatan mental, tetapi juga fizikal yang semakin terancam.
Pengambilan methamphetamine, ketamin, ganja sintetik dan opioid sintetik seperti fentanyl membawa risiko kerosakan otak, gangguan jantung, sawan, masalah pernafasan, kehilangan daya ingatan dan perubahan personaliti serius.
Di samping itu, masalah kesihatan mental golongan muda turut memburuk dengan peningkatan kes kemurungan, keresahan, halusinasi dan psikosis yang mana wujudnya kitaran negatif di antara tekanan psikologi dan penggunaan dadah yang sukar diputuskan.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2023, hampir satu daripada enam remaja di Malaysia dilaporkan mengalami simptom kemurungan, keresahan melampau atau kecenderungan mencederakan diri.
Lebih membimbangkan, ramai remaja dan belia yang menghadapi tekanan mental ini akhirnya menggunakan dadah sebagai ruang pelarian emosi tanpa sedar bahawa ini hanya menambah beban dan merosakkan potensi diri.
Sementara itu, dadah sintetik yang diambil berulang kali juga mampu mencetuskan gangguan mental baru seperti halusinasi, psikosis dan paranoia, memperlihatkan hubungan dua hala yang merosakkan antara kesihatan mental dan ketagihan.
Dari sudut sosial, kesan penyalahgunaan dadah amat signifikan. Penagihan dadah berkait rapat dengan peningkatan jenayah seperti pecah rumah, kecurian, penyeludupan dan keganasan rumah tangga.
Menurut laporan AADK tahun 2023, lebih 15 peratus belia yang bekerja kehilangan pekerjaan akibat ujian saringan dadah positif atau masalah tingkah laku yang berkait rapat dengan ketagihan.
Kehilangan pekerjaan bukan sahaja menggugat kestabilan kewangan individu, tetapi juga memburuk tekanan emosi dan sosial. Ditambah stigma masyarakat terhadap penagih, ramai yang dipinggirkan dan sukar mendapatkan sokongan.
Bagi keluarga pula, beban kos rawatan dan pemulihan menimbulkan konflik serta tekanan kewangan yang serius.
Kesan sosial dan ekonomi yang meluas ini menuntut pendekatan yang lebih holistik dan bersepadu. Penyelesaian tidak boleh bergantung semata-mata kepada tindakan penguatkuasaan atau hukuman.
Pendidikan pencegahan perlu bermula lebih awal, dengan kaedah yang bukan hanya menyampaikan maklumat mengenai bahaya dadah, tetapi juga membentuk kesedaran kendiri, kemahiran hidup dan ketahanan psikologi remaja.
Sekolah perlu berperanan sebagai ruang selamat yang menggalakkan perkembangan holistik pelajar, termasuk aspek sosial dan emosi mereka.
Selain itu, kemudahan rawatan dan pemulihan harus dipermudahkan dan diakses secara meluas, terutama melalui pusat sokongan belia, khidmat kaunseling awam dan program intervensi awal yang memberi fokus kepada bimbingan serta sokongan termasuk elemen spiritual, bukan hukuman dan stigma.
Komuniti juga mesti mengambil peranan aktif sebagai barisan hadapan. Kerjasama erat antara ibu bapa, pemimpin masyarakat, NGO dan pihak berkuasa amat penting dalam membentuk jaringan sokongan sosial yang kukuh.
Namun, situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah menjadi cabaran global. Negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Eropah turut berdepan lonjakan penggunaan dadah sintetik dan krisis kesihatan mental dalam kalangan belia.
Pendekatan mereka yang menggabungkan pendidikan, rawatan bersepadu dan sokongan komuniti memberi panduan penting yang boleh diadaptasi di Malaysia.
Krisis dadah sintetik dan kemerosotan kesihatan belia bukan sekadar isu kesihatan atau jenayah, tetapi juga cabaran pembangunan sosial yang memerlukan tindakan kolektif, bersepadu dan agresif.
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
© New Straits Times Press (M) Bhd