nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kajang: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 12 tertuduh lelaki dikenakan hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, tadi, atas kesalahan menganggotai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh lelaki terbabit dibebaskan semalam, selepas selesai menjalani hukuman penjara memandangkan mereka ditahan reman dari tarikh tangkap antara 25 September hingga 12 Oktober 2024.
Bagi sembilan lagi tertuduh wanita yang didakwa atas pertuduhan sama pula dikenakan hukuman denda RM4,500 dan boleh dihukum penjara selama tujuh bulan jika gagal membayar denda.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara serentak dalam prosiding dijalankan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, di sini.
Kesemua tertuduh termasuk Nasiruddin, 66, isterinya, Azura Md Yusof; 58, anak bekas pengasas Al-Arqam dan Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.
Selain itu, terdapat lapan tertuduh wanita iaitu Hamimah, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa menjadi anggota kumpulan GISBH yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi dikemukakan kesemua tertuduh berkaitan pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
Pada 23 Oktober 2024, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




