redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sudah menyelesaikan isu membabitkan dakwaan salah seorang kakitangannya berkaitan isu pakaian seragam koyak seperti yang tular di media sosial.
Pihaknya sudah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan terbabit bagi menangani hal dibangkitkan melalui hantaran di media sosial yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac lalu.
“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan kami, Charles Brewer, dengan rasa rendah diri sudah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan yang terkesan dan ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.
“Beliau dengan jujur mengakui bahawa respon beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, beliau berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Pos Malaysia menjelaskan pihaknya sedang menambah baik proses dalaman pihaknya untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.
“Komitmen itu dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Terima kasih atas perhatian dan sokongan anda,” katanya.
Terdahulu, seorang kakitangan Pos Malaysia, Muhamad Firdauss Rohani tampil meluahkan rasa terkilan selepas terpaksa memakai pakaian seragam yang sudah lusuh dan koyak ketika menjalankan tugas menghantar surat.
Lebih menyedihkan, pakaiannya ditegur pelanggan sendiri ketika bertugas.
Berikutan itu, Muhamad Firdauss meluahkan aduan dan persoalan berhubung hal itu menerusi platform komunikasi dalaman syarikat bagi mendapat maklum balas daripada pihak atasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd