DUBAI: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saudi Aramco, Amin Nasser membatalkan kehadirannya di persidangan tenaga CERAWeek di Houston untuk kekal di Arab Saudi berikutan konflik Iran, menurut satu sumber industri kepada Reuters.
Amin yang memegang jawatan CEO pengeksport minyak terbesar dunia itu selama lebih sedekad, sering menjadi antara penceramah utama di persidangan tersebut, salah satu acara terbesar dalam industri tenaga.
CERAWeek, yang dianjurkan oleh S&P Global dan bermula pada Isnin, menghimpunkan eksekutif tertinggi, pegawai kerajaan serta pembuat dasar dari seluruh dunia untuk membincangkan prospek pasaran tenaga global.
Penarikan diri Amin menonjolkan skala cabaran yang dihadapinya dalam menangani krisis Iran. Jurucakap S&P Global tidak memberikan komen segera dan berkata, sebarang kemas kini program akan dipaparkan dalam agenda rasmi dalam talian.
Konflik yang memasuki minggu keempat itu mengorbankan lebih 2,000 nyawa, menggoncang pasaran global serta mencetuskan serangan balas Iran yang secara efektif menutup Selat Hormuz dan menyasarkan infrastruktur tenaga Teluk, termasuk milik Aramco.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Iran saling mengancam untuk meningkatkan konflik dengan menyasarkan kemudahan tenaga dan bahan api di rantau Teluk.
Trump pada Sabtu mengugut untuk mengebom loji janakuasa Iran jika Teheran tidak membuka semula selat itu sepenuhnya, yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
CEO Kuwait Petroleum Corporation, Sheikh Nawaf Al-Sabah juga tidak akan menghadiri perhimpunan di Houston tetapi akan menyertai sesi pada Selasa secara maya dari Kuwait, menurut sumber berasingan.
Aramco kini berdepan krisis terbesar sejak pandemik Covid-19 dan serangan tahun 2019 ke atas kemudahan Abqaiq dan Khurais yang pernah menjejaskan lebih separuh pengeluaran minyak mentah Arab Saudi buat sementara waktu.
Amin berkata, akan berlaku akibat yang dahsyat terhadap pasaran minyak dunia jika perang Iran terus mengganggu Selat Hormuz.
Bagi mengelakkan laluan tersebut, Aramco kini menyalurkan berjuta-juta tong minyak sehari dari pantai timur ke pantai barat. Ia juga telah mengurangkan pengeluaran minyak kira-kira dua juta tong sehari daripada dua medan, menurut laporan Reuters.
Laluan alternatif ini bermaksud kapal tangki memuatkan minyak di pelabuhan Laut Merah di Yanbu, yang menghentikan sementara operasi pemuatan minggu lalu, menyebabkan harga melonjak selepas pemintasan peluru berpandu balistik dan serangan dron di kilang penapisan bersebelahan.
Kilang penapisan SAMREF diserang dron pada 19 Mac apabila Iran menyasarkan kemudahan tenaga di seluruh Teluk termasuk di Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas medan gas South Pars.
Gelombang serangan itu turut mengenai kompleks gas asli cecair di Ras Laffan, dengan ketua QatarEnergy memberitahu Reuters 17 peratus kapasiti LNG Qatar akan terjejas sehingga lima tahun.
CEO Kumpulan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), Sultan Al Jaber juga tidak akan ke Houston dan akan menyertai secara maya sebelum berlepas ke Washington D.C. untuk mesyuarat, menurut jurucakap pada Isnin.
Pada persidangan tahun lalu, Sultan berkata, sudah tiba masanya untuk menjadikan tenaga hebat semula, meniru slogan Make America Great Again milik Trump sambil menjanjikan pelaburan besar di AS melalui cabang pelaburan antarabangsa ADNOC, XRG.




