Ceramah keagamaan, IPT antara 10 kluster baharu hari ini

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kluster baharu Covid-19 dilaporkan di dalam negara, yang mana  lapan merupakan kluster yang dikesan di tempat kerja.

Enam kluster sahaja dikesan di Selangor iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Zamrud, Jalan Dato Sellathevan, Industri Cheras Jaya, Kluster Kampung Nyatoh dan Kluster Jalan Mutiara di kesan di Selangor.

Sementara itu kluster Kampung Nyatoh turut dikesan di Negeri Sembilan diikuti Kluster Persiaran Alam dan Kluster Jalan Mutiara Barat di Kuala Lumpur dan Kluster Perusahaan 10 di Pulau Pinang.

Manakala satu kluster keagamaan di kesan di Perak dan satu kluster Komuniti di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah hari ini.

Katanya, kluster di Perak iaitu di Jalan Senu adalah membabitkan kluster orang ramai yang menghadiri ceramah keagamaan.

“Kluster Jalan Senu ini dikesan di daerah Larut, Matang, dan Selama di Perak iaitu kes indeks ke285447) dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Februari lalu menerusi hasil saringan pra pembedahan.

“Kluster ini melibatkan kehadiran peserta ke sebuah aktiviti ceramah keagamaan yang berlangsung pada 19 Februari lalu di Jalan Senu, Kampung Repoh, Batu Kurau.

“Setakat ini sejumlah 52 individu telah disaring, dan 10 daripadanya dikesan positif,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Covid-19 yang dikeluarkan di kementerian Kesihatan Putrajaya hari ini.

Katanya, kluster Kampung Nyatoh pula dikesan di sebuah pusat pengajian tinggi di Seremban dan Gombak.

Ujar beliau, tiga kes dalam kluster ini (iaitu kes ke-296511, kes ke-300097, dan kes ke308185) disahkan positif COVID-19 bermula pada 27 Februari lalu hasil saringan individu-individu bergejala iaitu di sebuah pusat pengajian yang terletak di Kampung
Nyatoh, Rantau, Seremban.

Tambah Noor Hisham, setakat hari ini 193 individu telah disaring, dan 74 kes daripadanya dikesan positif.

“Kita juga melaporkan kluster pasar raya iaitu Kluster Mutiara Barat dikesan di KL, daerah Petaling dan Hulu Langat yang mana kes positif dikesan sejak 15 Februari lalu hasil saringan bersasar pekerja pasar raya di Jalan Mutiara di Cheras.

”Setakat ini, 17 daripada 86 individu yang disaring disahkan positif,” ujar beliau.

Noor Hisham memaklumkan kluster selebihnya melibatkan pekerja kilang perindustrian, syarikat perkhidmatan dan tapak binaan.

Menyentuh mengenai maklumat terkini kluster di negara ini, Noor Hisham menjelaskan sebanyak 1,187 kluster dilaporkan dalam negara dan sebanyak 699 kluster ditamatkan setakat ini termasuk 12 kluster hari ini.

Kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Ceram, Kluster Jalan Selayang, Kluster Kampung Bukit Biah, Kluster Kota, Kluster Bukit Belimbing, Kluster Bandar Teknologi, Kluster Bercham Raya, Kluster Taman Muhibbah, Kluster Kampung Kemansur, Kluster Jalan Mokhtar, Kluster Jalan Jubilee, dan Kluster Jalan Enam Belas.

Sementara itu katanya, sebanyak 488 kluster pula masih aktif dan 69 kluster merekodkan pertambahan kes baharu.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Batu Empat (310 kes), Kluster Kampung Nyatoh (72 kes), dan Kluster Perusahaan Jalan Bukit (51 kes),” katanya.- MalaysiaGazette

Scroll to Top