Sarcopenia bermaksud “kekurangan jisim otot’, Sarcopenia menyukarkan seseorang itu untuk melakukan aktiviti kehidupan harian seperti berjalan dan mengangkat barang. Adalah biasa apabila kita semakin berusia untuk mengalami penurunan sedikit jisim otot. Namun, ada dikalangan kita yang akan mengalami pengurangan ini pada kadar yang lebih tinggi dari biasa. Sarcopenia kini diiktiraf sebagai suatu penyakit di kalangan warga emas. Warga emas yang menghidap sarcopenia akan mengalami simptom seperti kelemahan otot, berjalan dengan perlahan, mudah jatuh, kehilangan daya ingatan dan boleh juga menyebabkan kematian pra-matang.
Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa satu dalam 20 atau 5% warga emas yang berusia 60 tahun ke atas mempunyai masalah sarcopenia, dan 3.6% mengalami –sarcopenia yang teruk. Agak membimbangkan juga, 80% dari warga emas yang mengalami sarkopenia ini berisiko menghidap masalah kehilangan daya ingatan atau cognitive impairment. Ini bermakna, keadaan otot yang lemah boleh menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah untuk berfikir dan mengingati sesuatu perkara. Oleh itu, penekanan terhadap kepentingan menjaga dan mengekalkan kesihatan serta kekuatan otot adalah amat penting. Walaupun usia merupakan faktor risiko sarkopenia, ada mendapati beberapa faktor lain yang menyumbang kepada keadaan ini. Antaranya ialah:
1) Pengambilan kalori dan protein yang tidak mencukupi.
2) Immobiliti atau aktiviti fizikal yang rendah – kedua-dua keadaan ini mempercepatkan kehilangan jisim dan kekuatan otot
3) Penyakit kronik seperti rheumatoid arthritis, penyakit radang usus, dan asthma. Ini kerana keradangan mengganggu keseimbangan normal antara pertumbuhan dan pengurangan otot yang mengakibatkan kehilangan otot.
4) Keadaan lain seperti obesiti, merokok, kencing manis dan penyakit tidak berjangkit (seperti penyakit buah pinggang kronik dan penyakit hati kronik).
Walaubagaimanapun, Sarcopenia, masih boleh dicegah melalui senaman dan pengambilan protein yang mencukupi. Senaman yang kerap dapat mencegah sarkopenia manakala senaman kekuatan boleh mengubati sarkopenia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan senaman sederhana selama 150 minit/minggu seperti berjalan pantas atau senaman yang kuat selama 75 minit/minggu seperti berjoging. Senaman kekuatan, termasuk penggunaan jalur rintangan (resistance band), angkat berat, atau melakukan senaman menggunakan berat badan sendiri seperti ‘squats,’ plank’, atau tekan tubi. Adalah disyorkan senaman dibuat dua kali seminggu, dengan selang 48 jam, diulang 6 -12 kali untuk 1 -3 set dengan peningkatan beban berat. Protein diperlukan untuk pertumbuhan otot. Apabila usia kita meningkat, , badan memerlukan lebih banyak pengambilan protein untuk merangsang pertumbuhan otot. Oleh itu, pengambilan protein yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya 1g setiap kg berat badan, disyorkan bagi pencegahan sarkopenia. Di samping itu, vitamin D juga dapat mencegah sarkopenia dengan meningkatkan kekuatan otot.
“Mencegah adalah lebih baik dari mengubati” – Sarcopenia boleh dicegah dan dirawat dengan senaman dan pemakanan yang sihat. Ayuh mari kita amalkan “Gaya Hidup Sihat Agar Kekal Ceria Sepanjang Usia”
Pengarang :
Dr. Karthikeyanathan Ramoo
MBBS, MPH
Public Health Department
Universiti Malaya
Dan
Professor Dr. Noran Naqiah Hairi
MBBS, MPH, MPH(Epidemiology) ,PhD, AMM, FFPH
Public Health Department
Universiti Malaya