Cermin Perodua Ativa dipecah, polis buru suspek

Cermin Perodua Ativa dipecah, polis buru suspek

mhafis@mediaprima.com.my

Gombak: Kereta milik seorang wanita rosak selepas cermin sisi kiri dipecahkandi Jalan SU 3, Taman Selayang Utama, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.09 petang, 24 Februari lalu.

Menurutnya, mangsa memaklumkan meninggalkan kereta jenis Perodua Ativa miliknya di bahu jalan dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun, apabila dia kembali untuk menggunakan kenderaan berkenaan, dia mendapati cermin sisi sebelah kiri bahagian penumpang dipecahkan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kehilangan barang berharga dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda.

Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Sarjan Mejar Mohd Nazaruddin Adam di talian 011-27134151 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222 bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top