FILEM: Pungut
PENGARAH: Areel Abu Bakar
PENULIS SKRIP: Hafiz Derani, Areel Abu Bakar
PELAKON: Aman Graseka, Ruzaidi Abdul Rahman, Fad Anuar, Aliff Yasrat, Megat Sharizal, Yusran Hashim
TERBITAN: Screen Studio
ULASAN: Syafil Syazwan Jefri
(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)
Pungut, arahan Areel Abu Bakar ini bukan sekadar filem biasa. Ia cerminan realiti yang dituangkan ke dalam bentuk karya filem yang tegas dan jujur.
Dengan latar belakang tapak pelupusan sampah di Langkawi, filem ini berjaya menangkap keperitan hidup dan kepincangan dalam masyarakat yang sering diabaikan.
Filem ini bermula dengan pemandangan luas tapak pelupusan sampah yang penuh dengan bauan busuk dan suasana suram.
Penonton seolah-olah dibawa masuk ke dalam dunia penuh kesengsaraan di mana manusia terpaksa bergelumang dengan sampah demi kelangsungan hidup.
Areel bijak guna elemen visual untuk menggambarkan realiti kehidupan, menghidupkan suasana yang tidak asing bagi segelintir masyarakat di Malaysia namun jarang dipaparkan di layar perak.
Paling menarik perhatian saya adalah suntingan montaj awal yang diperlihatkan seperti rakaman dilakukan menggunakan kamera lama seperti mana kesan-kesan visual yang dapat kita lihat dalam video-video sekitar tahun 90-an.
Konflik utama dalam Pungut berputar sekitar perebutan kuasa antara dua pihak yang ingin menguasai tapak pelupusan sampah.
Aman Graseka sebagai watak utama memainkan peranan dengan cemerlang, memaparkan sisi gelap manusia yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan peribadi.
Watak-watak lain seperti yang dilakonkan oleh Ruzaidi Abdul Rahman, Fad Anuar dan Aliff Yasrat turut menyumbang kepada naratif yang penuh ketegangan dan dramatik.
Perebutan ini bukan sekadar perebutan fizikal, tetapi simbolik kepada konflik dalaman dalam masyarakat kita. Sikap pentingkan diri sendiri dan pengkhianatan menjadi tema utama di mana setiap watak mewakili pelbagai jenis anggota masyarakat yang berdepan dengan dilema moral.
Dalam Pungut, wang menjadi faktor utama yang memacu segala tindakan. Elemen ini diolah dengan begitu berkesan melalui penjualan air ketum, aktiviti judi haram dan pelbagai gejala tidak bermoral yang berleluasa dalam kalangan watak-wataknya.
Filem ini dengan berani menonjolkan betapa wang boleh merosakkan moral manusia dan menyebabkan kehancuran dalam masyarakat. Contohnya, watak Fad sebagai Omar memiliki cita-cita besar dan ingin mencari wang untuk memastikan masa depannya cerah.
Namun, pada masa sama, langkahnya mencari rezeki halal dengan menjual minuman yang tidak sepatutnya, umpama menimbulkan konflik dalam dirinya sendiri.
Dialog-dialog dalam Pungut juga sarat elemen sindiran, terutama terhadap golongan atasan yang sering mementingkan diri sendiri. Sindiran ini bukan sekadar kritikan sosial, tetapi seruan kepada penonton untuk merenung dan menilai keadaan semasa.
Areel bijak menggunakan dialog untuk menyampaikan mesej sinis namun penuh makna. Ini menjadikan Pungut bukan sekadar filem untuk hiburan, tetapi sebagai satu bentuk refleksi terhadap keadaan masyarakat yang semakin tenggelam dalam kepentingan peribadi.
Filem ini membuktikan pembikin filem Malaysia mampu menghasilkan karya yang bukan saja menghiburkan, tetapi mengandungi mesej sosial yang mendalam.
Areel berjaya menghasilkan sebuah filem yang mengajak penonton untuk berfikir dan merenung, sambil menyajikan naratif yang penuh dengan ketegangan dan emosi.
Aspek lain patut diberi pujian adalah dalam babak aksi. Pungut ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Ogos 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




