harisfadli@hmetro.com.my
Serdang: Padah menceroboh kawasan Hutan Simpan Ayer Itam, Bukit Wawasan di Puchong, 75 individu ditahan menerusi Ops Jejak 2, di sini, jam 11 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, lokasi serbuan adalah kawasan larangan dan memerlukan permit untuk dimasuki.
“Operasi dijalankan Seksyen Penguatkuasaan, Seksyen Eco Park dan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
“Operasi dijalankan bersama anggota Pejabat Hutan Daerah Selangor, sepasukan anggota Universiti Putra Malaysia (UPM), dan anggota Balai Polis Puchong Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, 75 individu terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa permit.
Katanya, kesemua individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1985.
Muhamad Farid berkata, siasatan lanjut dijalankan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan semua tangkapan dibebaskan dengan jaminan.
“Pihak polis ingin mengingatkan bahawa orang awam tidak dibenarkan masuk ke dalam hutan ini bagi tujuan riadah.
“Tiada permit dikeluarkan untuk masuk ke dalam hutan ini memandangkan kawasan tersebut disimpan bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan Bahagian Perhutanan UPM.
“Kawasan yang dibenarkan untuk dibuka kepada orang awam hanyalah Trek Hutan 1 (trek mula/tamat: Kaki Bukit Wawasan, Persiaran Bukit, Pusat Bandar Puchong, sepanjang 2.8 km di Hutan Simpan Ayer Itam, sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-32/2012,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




