zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Berang: Polis akan memasang kawat duri di Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris dekat Jalan Tasik Kenyir, di sini bagi mengelak penunggang motosikal menggunakan laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, ia susulan terdapat penunggang motosikal yang dikesan melalui kawasan terbabit menggunakan lereng bukit.
Katanya, laluan itu ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh pada Disember tahun lalu.
“Kita akan pasang kawat duri di sana untuk halang laluan itu digunakan kerana ia bahaya kepada mereka.
“Runtuhan di situ agak serius dan kita bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat menunjukkan beberapa penunggang menolak motosikal mereka menggunakan laluan lereng bukit.
Media sebelum ini melaporkan penghadang konkrit diletakkan berikutan terdapatnya pemandu kenderaan yang masih berdegil untuk melalui kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd