nur.izzatie@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Trend mengubah suai kediaman menjadi premis perniagaan mula ‘meledak’ apabila tercetusnya pandemik Covid-19 kira-kira empat tahun lalu.
Ini berikutan kadar sewa dan caj utiliti yang murah membuatkan semakin ramai menjadikan rumah untuk perniagaan berkonsepkan hipster.
Cuma, trend itu menjadi buah mulut apabila penghuni lain mendakwa ‘hak’ mereka diceroboh akibat kewujudan premis berkenaan.
Mendedahkan kepada Buletin tv9, penghuni sebuah kawasan perumahan, Samiha Abdullah (bukan nama sebenar) berkata, kehidupannya bertukar 360 darjah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Menurut Samiha, rumahnya yang terletak di lokasi strategik bagai membuka pintu rezeki perniagaan dari rumah terutama kafe hipster.
Dia yang menetap di kawasan berkenaan selama 13 tahun kini berjiran dengan hampir 10 kafe, namun keistimewaan dan hak privasi menghuni kediaman M40 juga semakin hilang.
“Kalau Isnin hingga Jumaat agak mengganggu juga…lebih-lebih lagi hujung minggu kerana itu waktu kita berehat di rumah.
“Sebenarnya terganggu dengan kehadiran orang yang jadi pelanggan kepada perniagaan mereka.
“Nak keluar dari rumah, kita kena hon sebab dia sudah menghalang parkir depan rumah kita dan ada juga masalah macam keselamatan anak kita,” katanya.
Sebagai jiran, Samiha mendakwa memahami sebahagian perniagaan dari rumah dilakukan sebagai pilihan untuk kelangsungan hidup.
“Cuma ada yang sudah kaut untung dalam perniagaan, namun masih tidak berpindah, malah mengancam keselamatan pula berikutan penggunaan peralatan industri berlebihan.
“Saya juga risau nampak mereka tak ikut spesifikasi keselamatan… contoh macam bakeri, dia ada oven yang banyak oven industri.
“Tak sesuai berada di rumah dan sepatutnya dalam bangunan untuk mengoperasikan yang bersih tapi dia letak di luar…s emua itu tak sihat sebab kebersihan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Buletin tv9 di satu lokasi lain setaraf kawasan elit turut berdepan isu sama apabila banyak rumah yang dijadikan premis perniagaan tidak putus menerima pelanggan.
Hasil tinjauan mendapati lokasi yang dahulunya tenang berubah suasana, malah orang ramai dengan mudah keluar masuk dan tidak kurang juga kehadiran penghantar p-hailing.
Difahamkan, ada dua golongan peniaga dari rumah iaitu pemilik rumah dan keduanya adalah penyewa. Alasannya sama iaitu kadar sewa tinggi di lot komersial.
Di Klang pula, kadar sewa premis perniagaan berbeza-beza mengikut lokasi.
Di Kota Damansara pula, kadar sewa boleh mencecah hingga RM30,000 bagi lot tepi, sementara harga bermula RM5,000 bagi premis di bahagian tengah.
Jika dibandingkan menyewa di kawasan kediaman untuk lot tepi anggaran kadar sewa hanya RM7,000 iaitu jauh lebih murah.
Tinjauan seterusnya lebih mengejutkan apabila bengkel kereta beroperasi di rumah.
Penghuni mendakwa lebih merana kerana berdepan masalah pencemaran bunyi bising tanpa mengira masa yang jelas melanggar syarat pihak berkuasa tempatan (PBT).
Aduan yang diajukan menerusi platform rangkaian sosial komuniti setempat pula ibarat mencurah air ke daun keladi.
Penghuni, Azura Aziz (bukan nama sebenar) berkata, masih ramai datang ke rumah berkenaan untuk membaiki kenderaan walaupun sudah waktu tengah malam.
“Waktu itu kita sudah rehat dan tidur tapi bunyi bising itulah yang mengganggu kita sebagai jiran. Orang cepat kasihan kata bagi peluang tapi bila kita bagi peluang… orang itu akan ada satu lagi bengkel,” katanya.
Peniaga terbabit mempunyai 1,001 alasan untuk terus beroperasi dan kedai makan misalnya menggunakan kaedah giliran untuk memuatkan pelanggan satu-satu masa.
Dalam pada itu, wartawan turut menghubungi pemilik kedai tom yam bagi mendapatkan kepastian sama ada perlu membuat tempahan dulu sebelum datang ke premis.
“Ya betul… buat tempahan dahulu baharu datang. Parkir kita tak terlalu besar, kami dalam kawasan perumahan, jadi parkir itu tak adalah… kadang hujung sana baharu ada… kadang depan sana baharu ada,” katanya.
Berkuat kuasa 10 Jun lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan surat pekeliling memberi kelonggaran menjalankan perniagaan dari rumah, namun antara syarat utama perlu ada tanda tangan jiran sebelum premis beroperasi.
Persoalannya adakah jiran cakna mengenainya atau terpaksa berlapang dada demi keharmonian sesama tetangga? Ikut laporan bahagian dua di Harian Metro, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




