rencana@hmetro.com.my
PENGANJURAN Festival Kraf Utara (FKU) 2025 berlangsung sejak 24 Julai lalu hingga 4 Ogos (hari ini) di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, di Kangar, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) cuba menggalakkan pengusaha hotel dan usahawan kraf di negeri berkenaan untuk bertemu.
Ia dalam usaha membuka peluang untuk memberi wajah baru terhadap bilik hotel di negeri itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, FKU 2025 ini dijadikan platform dalam menggalakkan padanan perniagaan antara pengusaha hotel dan usahawan kraf untuk membina jalinan dalam pelbagai usaha sama dekorasi kraf tangan.
“Kita melihat bahawa FKU 2025 sebagai platform padanan perniagaan di mana aktiviti pertemuan usahawan kraf dengan pembeli dari dalam negara yang disasarkan kepada agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli belah.
“Untuk itu juga, FKU 2025 kali ini ada satu ruang dikhaskan untuk ‘business to business’ atau B2B di mana kita menggalakkan sektor perhotelan bertemu pemain industri kraf tangan terutama yang berasal dari Perlis untuk membincangkan kerjasama dalam dekorasi bilik hotel.
“Ini termasuk dekorasi warna bilik, cadar katil mahupun dari segi susun atur perkakasan di dalam bilik hotel itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan ketika ditemui selepas mengiringi Lawatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailaltul Shahreen Akashah Khalil ke FKU 2025 di Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, baru-baru ini.
Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Exco Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis, Abu Bakar Hamzah dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
Mohd Yusri berkata, inisiatif berkenaan sebagai pembaharuan yang cuba dibuat, selain pameran diadakan di FKU 2025.
“Padanan perniagaan ini sebagai langkah pembaharuan yang kita cuba buat dan jika dilihat contoh (pameran dekorasi bilik hotel) itu mungkin dibuat sebagai satu pameran tetap di premis itu mungkin selama setahun ini.
“Jadi, untuk produk perhotelan negeri ini, keutamaan diberi kepada pemain industri juga dari negeri ini dalam menaikkan usahawan kraf.
“Selain itu, kita ada pengusaha atau usahawan kraf dari Kedah, Pulau Pinang dan Selatan Thailand yang berada dalam FKU kali ini.
“Kita bermula dengan sebuah hotel terkemuka di Perlis dahulu dan akan dikembangkan kepada hotel lain pula,” katanya.
Dalam masa yang sama juga, Mohd Yusri berkata, pihaknya menjangkakan hasil jualan pelbagai produk termasuk produk kraf sepanjang FKU 2025 kali ini mampu melebihi RM1 juta seperti yang disasarkan.
“Malah, dengan kehadiran baginda dijangka mampu menggalakkan lagi kehadiran pengunjung yang bukan sahaja hadir dari Perlis bahkan dari luar negeri ini seperti Pulau Pinang, Kedah dan Selatan Thailand.
“Kita sangat berbesar hati dengan kehadiran Tuanku, isteri dan anak dalam FKU kali ini kerana dapat melihat pelbagai produk kraf yang dihasilkan anak tempatan,” katanya.
Terdahulu, baginda berkenan melawat reruai jualan produk kraf dan pameran produk kraf baharu yang beridentitikan Perlis di mana produk kraf baharu ini menampilkan olahan reka corak dan motif dari Kedah, Langkawi, Perak dan Pulau Pinang.
Malah, baginda meluangkan masa menyaksikan demonstrasi pembuatan tembikar tradisional Perlis (Kechor).
© New Straits Times Press (M) Bhd