KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) dan Standard Chartered Malaysia melancarkan tranche pembiayaan bernilai RM70 juta sebagai persediaan modal kerja kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan tranche yang dilancarkan kedua-dua pihak kepada RM1.71 bilion.
Standard Chartered juga adalah penyumbang tertinggi dalam kalangan bank asing dari segi pembiayaan kepada PKS di Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat berkata, di bawah perjanjian Jaminan Portfolio, kemudahan pembiayaan itu dijangka dapat membantu mengurangkan beban PKS dan mengekalkan perniagaan tatkala mereka kembali pulih selepas terjejas akibat pandemik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata Jaminan Portfolio itu bertujuan menyediakan modal kerja kepada PKS yang mempunyai peniagaan yang berdaya maju tetapi tidak mempunyai jaminan untuk mendapatkan kemudahan kredit yang diperlukan, sekali gus memberi peluang untuk PKS mecergaskan semula perniagaan mereka.
“Ia juga selaras dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA dalam masa kami bersiap sedia untuk bangkit semula,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar, berkata Jaminan Portfolio itu adalah antara beberapa inisiatif pembiayaan yang diumumkan oleh kerajaan yang disesuaikan khusus untuk PKS.
“Memandangkan lebih banyak perniagaan yang memanfaatkan teknologi, kemudahan itu adalah tepat pada masanya untuk membiayai transformasi digital mereka serta menembusi pasaran baharu,” katanya.
Katanya, bank mahu memastikan pengguna mendapatkan akses kepada bantuan yang mereka perlukan, bermula daripada penangguhan pembayaran hingga pembayaran faedah sahaja serta penyusunan semula hutang yang tidak akan memberi kesan kepada rekod mereka.
“Tumpuan kami adalah memastikan pengguna dimaklumkan mengenai pilihan yang tersedia untuk mereka dan bersedia untuk menyediakan pembiayaan yang sangat diperlukan itu,” katanya. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




